Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

112 tong berisi cecair tidak dikenal pasti ditemui berhampiran sungai di Hulu Selangor


Tarikh kemaskini: 05/08/2019





SHAH ALAM, 5 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 112 tong berisi cecair tidak dapat dikenal pasti telah ditemui diletakkan berhampiran sebuah anak sungai tidak bernama, di perkampungan orang asli Sungai Jang, Kerling, Hulu Selangor dekat sini, Sabtu lepas.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian berkata penemuan tersebut adalah hasil laporan daripada Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), pada pukul 7.39 pagi mengenai kejadian pembuangan tong berisi cecair itu, di anak sungai terbabit yang mengalir ke Sungai Jang.

Walau bagaimanapun katanya, tiada cecair daripada tong-tong tersebut dikesan memasuki sungai berkenaan yang terletak kira-kira 52 kilometer, dari Loji Pembersihan Air (LPA) Rantau Panjang.

“Susulan laporan tersebut, satu operasi bersepadu dijalankan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), MDHS, Jabatan Alam Sekitar Selangor (JAS), Polis Diraja Malaysia, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) di kawasan tersebut.

“Pihak LUAS juga telah memasang ‘pita sekatan’ pada kesemua tong di lokasi itu. Hasil siasatan mendapati tong-tong berkenaan dimiliki oleh pemilik satu kebun sayur berdekatan kawasan kejadian. Pihak MDHS telah memberikan dua notis kesalahan kepadanya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Hee, siasatan lanjut mendapati kesemua tong itu pula diedar oleh sebuah kilang di Kampung Sungai Dara, Behrang Ulu, Perak dan MDTM telah mengeluarkan notis kesalahan kepada pemilik premis tersebut.

Katanya, JAS juga telah mengarahkan pemilik kilang berkenaan untuk menguruskan kesemua tong itu dengan menjauhkannya dari sungai seperti mana yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Menurut Hee, berdasarkan pemerhatian pihaknya sehingga semalam, kesemua tong-tong tersebut telah diangkut semula ke kilang terlibat, namun LUAS dan agensi berkaitan masih terus memantau lokasi berkenaan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel