Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kes bunuh warga emas: empat dihadapkan ke mahkamah


Tarikh kemaskini: 05/08/2019





SEREMBAN, 5 Ogos (Bernama) -- Seorang broker saham hari ini dihadapkan di dua Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan membunuh dua warga emas, 24 Julai lepas.

Tertuduh Tan Kian Ngip, 40, hanya mengangguk faham ke atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mahyun Yusof dan Majistret V. Vanita oleh jurubahasa mahkamah dan tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan yang bacakan di hadapan Majistret Mahyun, Tan didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Eng Chong Hwa, 67, dengan menikam menggunakan senjata pisau manakala di mahkamah Majistret Vanita, dia didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Tan Kim Joo, 73, dengan menikam menggunakan senjata pisau.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di rumah bernombor 597, Jalan Melati 21, Taman Desa Melati, Nilai antara pukul 4 hingga 7.45 malam, 24 Julai lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mas Syafiqah Mahroob bagi pertuduhan pertama dan Nur'atiqah Sapari bagi pertuduhan kedua manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Joseph Kevin dan Leng Win Mun.

Kedua-dua Timbalan Pendakwa Raya bagaimanapun kemudian memohon mahkamah menangguhkan prosiding kes bagi menunggu laporan kimia dan forensik.

Kedua-dua mahkamah kemudian menetapkan 10 Sept ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, tiga lagi tertuduh, Lim Boon Ee, 35;  Kek Yiing Haur, 41, dan Huen Kok Chou, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mahyun, iaitu menghilangkan pisau yang digunakan Tan.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka secara bersama didakwa telah menghilangkan senjata pisau yang digunakan Tan dengan niat mengelakkan lelaki berkenaan daripada seksaan undang-undang dan kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah bernombor 597, Jalan Melati 21, Taman Desa Melati, Nilai antara pukul 7 hingga 8.50 malam, 25 Julai lepas.

Kesemua mereka didakwa dibawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Lim diwakili peguam Joseph dan Leng manakala Kek diwakili Joseph Mathews serta Huen diwakili peguam B. Jayaprakash Rao.

Mas Syafiqah kemudian menawarkan mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM15,000 setiap seorang dengan dua penjamin dan mengenakan syarat tambah iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Kesemua peguam ketiga-tiga tertuduh bagaimana pun merayu jumlah jaminan terhadap anak guam mereka dikurangkan.

Mahkamah kemudian membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 seorang dengan dua penjamin berserta syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Mahyun turut menetapkan 10 Sept depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel