Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pelajar bakal duduki SPM mohon bantuan


Tarikh kemaskini: 05/08/2019




KOTA BHARU, 5 Ogos (Bernama) -- Seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tendong, Pasir Mas memohon sumbangan orang ramai bagi menampung kos rawatannya selepas terbabit dalam kemalangan kira-kira lebih sebulan lepas. 

Muhammad Syafiq Daneal Zahari, 17, yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, hanya mampu terlantar kerana kecederaan parah yang dialami dan kini menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II). 

Mengimbas kembali kejadian menimpa Muhammad Syafiq pada 22 Jun lepas, bapanya Zahari Wan Ibrahim, 62, berkata anak bongsu daripada tujuh beradik itu menaiki motosikal dan bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan di Jalan Bechah, Tendong ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas pulang dari sekolah. 

“Akibat daripada kemalangan terbabit, Busu (panggilan kepada Muhammad Syafiq) dimasukkan ke hospital dan tidak sedarkan diri selama enam hari selain patah kedua-dua belah kaki dan menyebabkan limpanya terpaksa dibuang akibat jangkitan kuman,” katanya ketika ditemui pemberita di HRPZ II di sini hari ini. 

“Dia merupakan anak harapan saya memandangkan saya sendiri juga tidak bekerja selepas tangan sebelah kanan tercedera akibat kemalangan motosikal dua tahun lalu,” kata Zahari.

Bapa tunggal itu juga berkata, beliau sebelum ini bekerja hanya memungut barang terbuang untuk dikitar semula namun terpaksa berhenti kerana pergerakan tangan kanannya terbatas selain tidak boleh mengangkat benda berat akibat kemalangan berkenaan. 

“Saya buntu memikirkan perbelanjaan kos rawatan yang terpaksa ditanggung sepanjang Busu berada di hospital, malah jika mahu berharap kepada anak-anak yang lain mereka hanyalah bekerja kampung dan mempunyai komitmen sendiri.

“Sepatutnya Busu perlu menjalani pembedahan untuk memasukkan besi ke dalam kedua-dua kakinya yang patah seminggu selepas dia terbabit dalam kemalangan, tetapi disebabkan tidak mempunyai wang ianya terpaksa ditangguhkan,” katanya. 

Namun pada Ahad lepas, Busu selamat menjalani pembedahan memasukkan besi atas belas ihsan pihak hospital yang bimbang kecederaan pada kakinya menjadi lebih parah, katanya.

Katanya, kos memasukkan besi itu berjumlah RM1,100 dan dia masih lagi berhutang dengan hospital.

Zahari berkata, ekoran kemalangan itu juga anaknya hanya bergantung kepada susu khas yang diberikan enam kali sehari melalui tiub yang dipasang pada hidungnya. 

“Selain menggunakan susu yang diberikan oleh pihak hospital, saya juga terpaksa membeli susu tambahan demi memenuhi keperluan Busu yang berharga RM49 satu tin yang mampu bertahan untuk sehari sahaja.

“Dalam seminggu saya perlu memperuntukkan kira-kira RM350 hanya untuk susunya dan tidak termasuk lampin pakai buang, malah susu yang dibeli ini menggunakan wang sumbangan yang diberikan oleh saudara-mara dan kenalan yang datang menziarahinya sepanjang dia dirawat di hospital,” katanya.

Zahari juga merayu sumbangan orang ramai untuk mendapatkan katil khas dan kerusi roda untuk anaknya itu bagi memudahkan lagi urusan penjagaannya apabila dia sihat seperti sediakala dan kembali ke rumah kelak. 

Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Zahari di talian 017-9226014 bagi maklumat lanjut.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel