Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penyatuan semua kaum tunjang kekuatan negara - Ahmad Faizal


Tarikh kemaskini: 04/08/2019





IPOH, 4 Ogos (Bernama) -- Penyatuan semua kaum merupakan tunjang kepada kekuatan, kemajuan dan pembangunan negara hari ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata setiap dasar yang dibentuk di negara ini dibuat bukan hanya memikirkan keselesaan atau faedah yang diperolehi oleh satu kaum semata sebaliknya turut mempertimbangkan kesan pembangunan yang akan dirasai oleh semua pihak. 

"Atas sebab itu, kita berjaya meminimumkan rasa cemburu atau tidak puas hati antara sesuatu kaum dengan kaum yang lain. Inilah salah satu bentuk kejayaan yang sering dicemburui dunia luar terhadap rakyat Malaysia. 

"Ketika mereka saling berbunuhan sesama sendiri, kita kekal bersatu di bawah satu bendera yang sama untuk terus mara ke depan demi memperbaiki taraf hidup dan menjamin kemakmuran bagi diwarisi anak cucu pada masa akan datang," katanya.    

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis pelancaran Kempen Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini, malam ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Penerangan Perak Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.

Dalam pada itu, beliau menyeru agar seluruh rakyat Malaysia berbangga untuk untuk mengibarkan Jalur Gemilang terutamanya pada Bulan Kebangsaan ini.

"Tidak cukup dengan hanya mengibarkan Jalur Gemilang, saya juga mengharapkan agar setiap orang dapat memahami maksud yang tersirat di sebalik reka bentuk dan warna yang terdapat pada Jalur Gemilang," katanya.

Selain itu, Ahmad Faizal turut mengharapkan agar setiap individu dapat menghayati tema hari kebangsaan tahun ini iaitu Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih.

Pada majlis itu, Hasnul Zulkarnain turut melepaskan konvoi lebih 30 pelbagai kenderaan yang akan menjelajah setiap daerah di negeri itu sempena Bulan Kebangsaan yang disaksikan oleh kira-kira 10,000 orang yang menghadiri majlis tersebut termasuk Setiausaha Kerajaan negeri Zainal Azman Abu Seman.

-- BERNAMA  


 

   

 
 
     
   
 

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel