Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kolej vokasional di negara ini bersedia jalin kerjasama dengan syarikat Yun Fook Resources Sdn Bhd


Tarikh kemaskini: 04/08/2019





KENINGAU, 4 Ogos (Bernama) -- Kolej Vokasional (KV) di negara ini bersedia menjalinkan kerjasama dengan syarikat Yun Fook Resources Sdn Bhd, yang mengusahakan ladang lembu tenusu di sini, untuk menempatkan pelajarnya menjalani latihan dalam sektor pertanian.

Pengarah Bahagian Pendidikan Latihan Teknikal Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia, Zainuren Mohd Nor berkata, ladang yang mempunyai kemudahan teknologi tinggi itu sesuai bagi menempatkan pelajar vokasional menjalani latihan dalam bidang berkenaan.

"Kita berharap kerjasama ini akan memberi manfaat kepada pelajar KV yang menjalani latihan "on the job training" di ladang berkenaan," katanya selepas mengadakan lawatan penanda aras pengarah bersama Kolej Vokasional Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dan Kolej Vokasional Pertanian Malaysia di ladang tenusu itu di sini, hari ini.

Antara KV yang menawarkan subjek pertanian ialah KV di Lahad Datu, Sabah, KV Teluk Intan Perak, KV Chenor Pahang, KV Dato Lela Maharaja Negeri Sembilan dan KV Pasir Putih, Kelantan.

Zainuren berkata, 12 pelajar KV Lahad Datu telah memulakan latihan industri di syarikat itu sejak dua minggu lepas. 

Sementara itu, Pengarah Urusan Yun Fook Resources Sdn Bhd, Prof Adjung Datuk Yap Yun Fook berkata, pihaknya menyambut baik kerjasama dengan kerajaan mahupun badan bukan kerajaan untuk mempelajari bidang penternakan dan pertanian di ladang itu.

Yap, yang juga Anggota Majlis Penasihat Pertanian Negara, berkata pihaknya juga bersedia membangunkan tanah KV yang terbiar untuk aktiviti perladangan selain menjadi pusat latihan praktikal dan penyelidikan pelajar KV.

Sebagai permulaan dua buah KV iaitu KV Lahad Datu berkeluasan kira-kira 48.38 hektar (120 ekar) dan KV Pasir Putih seluas kira-kira 100.8 hektar (250 ekar) di Kelantan akan dibangunkan untuk tujuan itu. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

LZS akan terus beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatan libatkan dana LZS dan RTM

 
     

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel