Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pencemaran Pasir Gudang: Kerajaan negeri Johor akan wujud kawasan perindustrian baharu


Tarikh kemaskini: 04/08/2019





JOHOR BAHRU, 4 Ogos (Bernama) -- Kerajaan negeri berkemungkinan akan mewujudkan kawasan perindustrian baharu, susulan insiden pencemaran di Pasir Gudang baru-baru ini.

Menteri Besar Johor Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata kawasan baharu itu perlu, kerana Pasir Gudang ketika ini sudah padat.

“Mungkin kita akan fikir untuk membuat kawasan perindustrian baharu yang berada di luar Pasir Gudang.

Nanti pihak Pejabat Daerah dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) akan lihat kajian kesesuaian di mana kita buat tapak perindustrian baharu,” katanya kepada media selepas Sesi Dialog Awam Isu-Isu Semasa Pasir Gudang, di Stadium Tertutup MPPG hari ini. 

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan mengenai langkah dalam mewujudkan zon penampan yang dicadangkan pelbagai pihak sebelum ini.

Ditanya mengenai pelan jangka masa panjang pihaknya untuk Pasir Gudang pula, Sahruddin berkata pelan itu memang sudah ada.

“Nanti kita akan tengok hasil daripada kajian itu apa yang kita perlu buat, untuk memastikan Pasir Gudang lebih lestari. Mungkin kalau ada kilang yang perlu dipindahkan, kita pindahkan,” katanya.

Dr. Sahruddin turut menyatakan komitmennya untuk menangani isu-isu berbangkit berhubung kes pencemaran di Pasir Gudang.

“Kita tengah cuba untuk menangani segala isu-isu yang berlaku, untuk sementara kena faham bahawa Sungai Kim Kim sendiri, telah tercemar lebih 15 tahun.

“Sebab itu semasa kejadian di Sungai Kim Kim kita bertindak,” katanya semasa meluangkan masa kira-kira 15 minit bersemuka bersama penduduk sekitar Pasir Gudang yang menyertai himpunan aman di luar stadium tertutup itu.

Difahamkan, antara yang menyertai himpunan ialah mangsa pencemaran, ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan seperti Badan Bertindak Penduduk Isu Pencemaran Alam (BBPIPA) dan anggota-anggota parti politik pembangkang di Pasir Gudang.

Sementara itu, Pengerusi BBPIPA, Muhammad Fauzi Rohani yang turut menyerahkan memorandum ketika pertemuan itu berkata, pihaknya melahirkan penghargaan kepada Dr. Sahruddin, kerana sudi bertemu dengan penduduk yang hadir.

"Inisiatif mengadakan sesi dialog awam ini amat baik, kerana dapat memberi pencerahan kepada yang hadir, berhubung isu pencemaran di Pasir Gudang. 

"Harapan kami selepas ini pihak kerajaan negeri akan menganjurkan sesi dialog awam bersama penduduk dan mangsa terjejas pula," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel