Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Johor pandang serius kes pembuangan bayi yang tinggi


Tarikh kemaskini: 04/08/2019





JOHOR BAHRU, 4 Ogos (Bernama) -- Kerajaan negeri Johor memandang serius statistik yang menunjukkan bahawa negeri ini, mencatatkan kes pembuangan bayi paling tinggi di Malaysia kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan Liow Cai Tung.

Katanya stastistik yang ada menunjukkan 13kes pembuangan bayi telah dilaporkan dari Januari hingga Julai tahun ini dengan daerah Johor Bahru mencatatkan kes paling tinggi, diikuti Batu Pahat dan Kulai.

“Bagi masalah pembuangan bayi di negeri ini, pelbagai program dan kempen telah dijalankan, termasuklah Program 'Diriku Permata Berharga (Dermaga)' oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT), yang antara lain mendidik masyarakat, khususnya pelajar sekolah tentang pentingnya kesihatan reproduktif atau implikasi kehamilan luar nikah.

“Melalui Belanjawan 2019, kerajaan negeri memperuntukkan RM100,000 untuk Program Dermaga ini, dalam usaha membendung masalah sosial dalam kalangan generasi muda di negeri ini dan telah menjalankan programnya di 12 buah sekolah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

Liow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Johor Jaya berkata, pihaknya juga aktif menjalankan Program Generasi Ku Sayang (GKS) sejak 2014, untuk membantu golongan remaja yang hamil luar nikah, agar dapat mengelakkan kes pembuangan bayi.

Sehingga kini, program terbabit telah merekodkan seramai 109 pelatih yang kebanyakannya berumur  dalam lingkungan 16 hingga 20 tahun.

Untuk tahun ini, terdapat seramai tujuh pelatih di pusat GKS negeri Johor di mana mereka diberi bimbingan kaunseling, agama, dan cara menjaga bayi sepanjang mereka berada di pusat berkenaan, sehingga bersalin, kata Liow.

Liow berkata, pihaknya turut mengadakan program Seminar Pencegahan Pembuangan Bayi bersama 70 peserta terdiri daripada kaunselor sekolah, hospital serta jabatan seperti YPKDT, PDRM dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada Februari, tahun ini.

“Oleh kerana peserta-peserta adalah individu yang boleh sampaikan maklumat yang tepat, jika terdapat kes-kes yang ada risiko seperti kehamilan remaja, saya bercadang supaya program ini dapat diadakan dengan lebih kerap memandangkan kes pembuangan bayi yang semakin bertambah.

“Program kesedaran mengenai isu sosial perlu diteruskan, supaya dapat mengurangkan kes pembuangan bayi. Anak-anak muda juga perlu diberi maklumat tepat, supaya dapat membendung masalah pembuangan bayi kerana segala usaha sepatutnya bermula daripada pendidikan,” katanya lagi.

Jumaat lepas, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh memberitahu sebanyak 65 kes pembuangan bayi direkodkan dari Januari hingga Mei lepas dan tiga negeri yang mencatatkan kes tertinggi ialah Johor (13 kes), Selangor (11 kes) dan Kedah (lima kes).

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     

Jerebu: penduduk Melaka hadkan aktiviti luar

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel