Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

JPN terima 7,838 permohonan bagi dokumen pengenalan diri dalam tempoh Jan hingga Jun 2019


Tarikh kemaskini: 04/08/2019





MELAKA, 4 Ogos (Bernama) -- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerima sebanyak 7,838 permohonan bagi dokumen pengenalan diri di seluruh negara menerusi program “turun padang” jabatan itu dalam tempoh Januari hingga Jun 2019.

Ketua Pengarah JPN Datuk Ruslin Jusoh berkata daripada jumlah itu, 5,016 permohonan melibatkan penduduk di semenanjung manakala 2,822 permohonan adalah di Sabah dan Sarawak. permohonan dokumen pengenalan diri itu termasuk kad pengenalan, sijil kelahiran dan sijil kewarganegaraan.

Beliau berkata JPN juga memberikan khidmat nasihat melibatkan 7,727 kes berkaitan dokumen pengenalan diri termasuk permohonan baharu dan penggantian kad pengenalan, sijil kelahiran dan kewarganegaraan dalam tempoh sama tahun ini.

"JPN dari semasa ke semasa akan terus memantapkan program turun padang kepada penduduk yang menghadapi kekangan untuk berurusan di pejabat JPN di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (Operasi), Jasri Kasim dan Pengarah JPN Melaka, Norazlee Sulaiman.

Ruslin berkata golongan sasar yang mendapat manfaat daripada program ini terdiri daripada warga emas, orang kurang upaya, anak-anak yatim dan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai akses kepada pejabat JPN.

"Tahun ini, kita menyasarkan kira-kira 1,000 program turun padang akan dilaksanakan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Sehingga kini, sebanyak 782 program tersebut telah dijalankan sehingga 30 jun lepas," katanya.

Ruslin berkata antara program turun padang yang dilaksanakan JPN ialah Pusat Komuniti Bergerak, Mobile Ehsan / Program Jalinan Kasih, Program bersama JAKOA, Program bersama Kaum Minoriti  dan Program Mekar yang mana inisiatif berkenaan memberi impak positif kepada rakyat dan  ia akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Menurut beliau, lima negeri yang merekodkan permohonan tertinggi dokumen pengenalan diri dalam tempoh eam bulan pertama tahun ini ialah Wilayah Persekutuan iaitu sebanyak 3,512 permohonan diikuti Sarawak (2,143 permohonan), Sabah (679 permohonan), Selangor (324 permohonan) dan Kelantan (254 permohonan).

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 76 kes kesalahan di bawah Peraturan 25 (1) (e) , Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 iaitu memiliki kad pengenalan palsu (48 kes) dan memiliki kad pengenalan orang lain (28 kes) melibatkan dua warga Indonesia dan 74 warga Filipina direkodkan dalam tempoh Jan hingga Julai lepas.      

"JPN juga telah melaksanakan kira-kira 30 operasi melibatkan Op Terancang dan Op Kutip selain bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia bagi mengesan individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990," katanya.

       

-- BERNAMA

 

 

 

         


 

   

 
 
     
   
 

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     

Semua sekolah di Putrajaya dibuka esok

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel