Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Intrade: latihan untuk peserta DPA fahami denyut nadi masyarakat luar bandar


Tarikh kemaskini: 04/08/2019





JELEBU, 4 Ogos (Bernama) -- Program Submodul Inisiatif Transformasi Desa (Intrade) di bawah Program Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam Institut Tadbiran Awam Negara (DPA INTAN) akan memberi pengalaman dan pendedahan kepada peserta untuk lebih memahami corak kehidupan dan de­nyut nadi masyarakat di luar bandar.

Ketua Kluster Pembangunan Profesional dan Etika INTAN Kampus Utama Bukit Kiara Dr Jamaluddin Mohd Ali berkata menerusi program berkenaan, ia membolehkan peserta melibatkan diri secara terus dengan masyarakat selain menggilap keupayaan diri dalam merancang dan melaksanakan program di peringkat komuniti dengan baik.

"Tahun ini kita memilih lokasi di Negeri Sembilan iaitu di Jelebu dan Port Dickson untuk berkampung dan tinggal bersama keluarga angkat selama 10 hari bagi memberi latihan dan pengalaman baik terhadap mereka kerana mereka ini bakal menjadi penjawat awam dan akan ditempatkan di kementerian-kementerian.

"Ada dalam kalangan mereka yang akan dilantik sebagai Penolong Pegawai Daerah di setiap daerah sekali gus program sebegini memberi pendedahan kepada mereka berkenaan isu dan permasalahan masyarakat setempat," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian Karnival Tautan Kasih Warga Jelebu oleh  Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Bakri Sawir.

Sementara itu, seorang peserta Ahmat Yazid Maliki berkata program berkenaan merupakan platform bagi mengeratkan hubungan antara penduduk dengan peserta program DPA INTAN.

“Program ini membolehkan kami menyelami keunikan cara hidup sosioekonomi dan kepelbagaian budaya masyarakat di peringkat akar umbi melalui program-program kemasyarakatan yang dijalankan.

"Selain dapat melatih peserta melaksanakan program di peringkat komuniti dengan jayanya, pengalaman tersebut kelak boleh digunakan untuk memperbaiki dasar kerajaan dalam konteks kemasyarakatan," katanya.

Program INTRADE berlangsung selama 10 hari bermula 29 Julai lepas melibatkan 205 peserta dengan daerah Jelebu seramai 85 orang dan Port Dickson seramai 120 orang.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Jho Low ajar percepat proses pengeluaran jaminan kerajaan - Saksi

 
     

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel