Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pengarah LKTN terkandas di Lata Kolam, Besut ditemui selamat


Tarikh kemaskini: 04/08/2019





JERTIH, 4 Ogos (Bernama) -- Pengarah Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) Negeri Kelantan Nik Muhammad Azhar Nik Mustapha ditemui selamat setelah 12 jam terkandas sewaktu memancing di Pusat Peranginan Lata Kolam Air Menderu, di sini sejak petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jertih, Mohamad Tarmimi Che Musa berkata mangsa yang berumur 40 tahun, ditemui kira-kira pukul 7.45 pagi tadi berdekatan dengan ‘check point’ pertama pusat peranginan tersebut.

"Nik Muhammad Azhar telah turun sendiri ke ‘check point’ pertama awal pagi tadi selepas gerakan mencari dan menyelamat yang dilancarkan malam tadi gagal menemui beliau.

"Ketika gerakan mencari dilakukan mangsa dikatakan dapat mendengar dan melihat cahaya lampu pasukan pencarian dan dia kemudiannya bertindak memanggil anggota terbabit namun tidak didengari mereka ekoran bunyi air terjun yang kuat serta suasana keadaan hutan yang gelap," katanya ketika ditemui Bernama berhampiran lokasi kejadian hari ini.

Mohamad Tarmimi berkata Nik Muhammad Azhar bersama empat rakannya berkunjung ke Pusat Peranginan Lata Kolam Air Menderu sebelum mereka berpecah dan memancing secara berasingan.

Namun, keadaan gelap menyebabkan mangsa sukar mencari jalan keluar dan mengambil keputusan untuk terus berada di situ sebelum keluar awal pagi ini. 

"Menurut rakan mangsa, mereka terputus hubungan apabila telefon bimbit milik Nik Muhammad Azhar telah kehabisan bateri dan tidak muncul berkumpul bersama yang lain pada pukul 8.30 malam menyebabkan mereka bertindak menghubungi talian kecemasan," katanya.

Mohamad Tarmimi berkata ketika ditemui, mangsa dalam keadaan lemah dan mengalami kekejangan otot kaki kanan dan telah dibawa ke Hospital Besut untuk mendapatkan rawatan.

Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat mangsa telah disertai kira-kira 30 anggota termasuk dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan orang awam.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel