Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

APM siap siaga hadapi sebarang kemungkinan ketika jerebu


Tarikh kemaskini: 04/08/2019





MACHANG, 4 Ogos (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di seluruh negara kini dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku sepanjang tempoh jerebu di beberapa negeri sejak empat hari lepas.

Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Roslan Wahab berkata semua pengarah APM di peringkat negeri telah dimaklumkan agar peka dengan perkembangan semasa keadaan jerebu itu.

"Setakat ini keadaan jerebu di beberapa negeri dilaporkan berada pada tahap sederhana namun saya telah maklumkan kepada semua pengarah agar sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi segala kemungkinan dalam tempoh itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Program Siswi Pertahanan Awam (SISPA) Challenge dan Majlis Pentauliahan Pegawai Bersekutu Universiti Teknologi MARA (UiTM) di UiTM Machang di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Jailan Simon dalam satu kenyataannya dipetik sebagai berkata keadaan jerebu yang melanda negara dijangka berterusan susulan kewujudan 31 titik panas dikesan pada Jumaat.

Beberapa negeri di Pantai Barat Semenanjung Malaysia dan Sarawak ketika ini berhadapan dengan masalah jerebu susulan kebakaran hutan di enam wilayah di Indonesia sejak empat hari lepas.

Dalam pada itu, Roslan berkata SISPA Challenge yang berlangsung selama empat hari bermula 1 Ogos lepas itu disertai seramai 175 SISPA dari lima UiTM membabitkan UiTM Shah Alam, Puncak Perdana, Pahang, Terengganu dan Kelantan sebagai persediaan untuk cabaran pentauliahan di Universiti Putra Malaysia (UPM) 14 Ogos nanti manakala lima kakitangan UiTM Machang telah ditauliahkan sebagai Pegawai Bersekutu.

Katanya kira-kira 5,000 SISPA telah diberikan pentauliahan sejak 10 tahun lepas dan APM kini dalam proses mewujudkan sistem data yang dikenali sebagai e-SISPA bagi menyelaraskan keseluruhan anggotanya secara lebih sistematik di seluruh negara.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     

UMT anjur majlis khas untuk graduan kehilangan ibu pada hari konvokesyen

 
     

Ahmad Zahid arah keluar RM17,953,185.21 bina bangunan Yayasan Akalbudi - saksi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel