Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pencemaran: k'jaan negeri mohon maaf kepada penduduk Pasir Gudang


Tarikh kemaskini: 04/08/2019





JOHOR BAHRU, 4 Ogos (Bernama) -- Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal menzahirkan permohonan maaf kerajaan negeri kepada penduduk Pasir Gudang yang terjejas akibat pencemaran udara di kawasan itu sejak 20 Jun lepas.

Beliau berkata mungkin terdapat beberapa perkara yang boleh diperbaiki bagi menangani insiden berkenaan.

“Sebagai ketua (kerajaan) negeri, saya dengan rendah diri memohon maaf kepada penduduk Pasir Gudang dan berjanji akan berusaha membaiki kelemahan sedia ada,” katanya ketika berucap pada Sesi Townhall Isu-Isu Semasa Pasir Gudang di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang, di sini hari ini.

Menurut Dr Sahruddin, di peringkat kerajaan negeri, pihaknya sudah pun mengambil pelbagai langkah keselamatan dan pencegahan untuk memastikan semua penduduk yang terjejas mendapat pembelaan sewajarnya serta untuk menjamin keselamatan dan kesihatan pelajar.

“Kita merasa sedih dan terkilan kerana pembangunan yang dirancang pada suatu ketika dahulu di kawasan ini tidak mengambil kira kelestarian dan kesan jangka panjang terhadap penduduk di Pasir Gudang.

“Namun, kita tidak mahu hanya menuding jari kerana kita sedar, ia tidak dapat menyesaikan masalah. Oleh itu, pada hari ini kita mengambil tanggungjawab untuk mencari jalan penyelesaian dalam menangani insiden ini supaya tidak terus berulang," katanya. 

Bagaimanapun, jalan penyelesaian bukan boleh dilakukan sekelip mata, ia perlu dirangka secara komprehensif dengan mengambil kira kepentingan semua pihak agar kesannya memberi manfaat kepada generasi akan datang.

Beliau berharap melalui sesi townhall itu, ia akan dapat memberi penerangan kepada masyarakat terhadap situasi sebenar pencemaran yang berlaku di Pasir Gudang.

Hal ini penting, kata beliau agar ia tidak terus menjadi tanda tanya dalam kalangan masyarakat sekali gus menamatkan spekulasi negatif terhadap tindakan kerajaan sedia ada.

Selain itu, ia juga diharap dapat membuka ruang pertukaran idea, pendapat, maklum balas dan cadangan daripada mereka yang terlibat untuk menangani masalah yang sedang dihadapi.

Sejak 20 Jun lepas sehingga baru-baru ini, ratusan murid dan pelajar serta guru terjejas berikutan insiden muntah-muntah dan sesak nafas dipercayai disebabkan pencemaran di kawasan Pasir Gudang.

Sementara itu, kira-kira 100 penduduk Pasir Gudang mengadakan himpunan aman di stadium tertutup berkenaan sebagai tanda protes terhadap kerajaan negeri berhubung insiden pencemaran itu.

Himpunan diadakan kira-kira sejam sebelum penganjuran sesi townhall berkenaan.

Melalui pemerhatian Bernama, terdapat beberapa anggota polis ditugaskan untuk mengawal himpunan terbabit, sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya terdapat insiden tidak diingini berlaku.

Difahamkan, antara yang menyertai himpunan ialah mangsa pencemaran, ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan anggota-anggota parti politik pembangkang di Pasir Gudang. 

Timbalan Pengerusi Badan Bertindak Pencemaran Pasir Gudang Mohd Rafee Abdullah yang turut hadir pada himpunan itu berkata pihaknya akan menghantar satu memorandum kepada menteri besar Johor selepas sesi townhall tersebut.

 -- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     

Semua sekolah di Putrajaya dibuka esok

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel