Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

ECRL : limpahan manfaat untuk kontraktor, penduduk setempat


Tarikh kemaskini: 04/08/2019





KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Pelancaran semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM44 bilion oleh kerajaan pada 25 Julai lepas setelah sembilan bulan tertangguh, membolehkan banyak pihak terutama kalangan kontraktor tempatan dan penduduk setempat menarik nafas lega.

Ini berikutan projek mega tersebut dapat memberi manfaat dan impak positif di sepanjang jajaran laluan rel yang akan beroperasi di tiga negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang selain Negeri Sembilan, Selangor serta Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Apa yang pasti, banyak pihak mengintai peluang yang boleh dimanfaatkan daripada projek berskala besar itu yang dijangka siap menjelang Disember 2026 khususnya dari segi memacu pembangunan ekonomi, logistik, perdagangan dan pelancongan serta menjadi pemain penting dalam memajukan lagi ekonomi dan pembangunan sosial Malaysia.

Ketika berkongsi perinciannya, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata projek ECRL yang ditambah baik kini merangkumi jajaran sepanjang 640 kilometer dengan 417 kilometer atau 65.2 peratus daripadanya meliputi perubahan jajaran dari Kota Bharu ke Dungun dikenali sebagai Seksyen A manakala keseluruhan jajaran baharu dari Mentakab ke Pelabuhan Klang dikenali Seksyen C.

"Jajaran ECRL dari Dungun ke Mentakab yang dikenali sebagai Seksyen B dan sepanjang 223 kilometer merupakan 34.8 peratus daripada keseluruhan jajaran ECRL yang tidak terbabit dengan sebarang perubahan," katanya selepas majlis pelancaran semula projek ECRL di tapak terowong Dungun, Terengganu baru-baru ini.

Pembinaan projek ECRL ditangguhkan sejak Julai tahun lepas selepas kerajaan memutuskan untuk kembali berunding dengan pemaju mengenai kos projek serta aspek pelaksanaannya.

Susulan itu, kerajaan dapat menjimatkan RM21.5 bilion apabila Fasa I dan II projek itu kini berharga RM44 bilion berbanding RM65.5 bilion yang ditandatangani oleh kerajaan terdahulu. 

Projek itu kini bermula dari Kota Bahru dan melalui Mentakab, Jelebu, Kuala Kelawang, Bangi/Kajang, Putrajaya dan berakhir di Pelabuhan Klang sejauh 640 kilometer yang dipendekkan berbanding laluan asal 688 kilometer.

Terengganu misalnya akan mempunyai enam stesen iaitu di Kampung Raja, Kuala Terengganu, Pengkalan Berangan, Dungun, Kemasik dan Chukai yang merangkumi empat stesen penumpang dan dua stesen gabungan penumpang dan kargo.

Mengulas perkembangan itu, Timbalan Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Terengganu (PKMMT), Zamri Awang Hitam ketika ditemui Bernama, berkata kali terakhir projek mega dilaksanakan di Terengganu adalah Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) yang siap beberapa tahun lepas.

"Selepas itu tiada lagi projek besar, malah projek kecil pun berkurangan menyebabkan ramai kontraktor kecil yang terpaksa gulung tikar," katanya.

Selain optimis dengan penyambungan semula projek ECRL itu, Zamri juga berharap kuota 40 peratus khusus untuk kontraktor tempatan bagi projek tersebut akan dapat membantu golongan kontraktor terbabit untuk mampu bangkit semula.

Menurut Zamri, pihak persatuan itu juga telah mengenal pasti kontraktor yang berpotensi untuk merebut peluang dalam projek ECRL itu dan PKMMT turut mempunyai banyak kontraktor dengan kepakaran dalam pelbagai aspek termasuk kerja-kerja tapak, elektrik dan sebagainya.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Perniagaan & Perindustrian Melayu Terengganu, Dr Tengku Khairi A Rahman pula menyifatkan penyertaan kontraktor tempatan dalam projek ECRL akan dapat merangsang pertumbuhan sektor perindustrian kecil dan sederhana (PKS) yang terlibat dalam pembekalan bahan-bahan binaan, sekali gus  memberi kesan positif langsung terhadap rantaian ekonomi di sepanjang jajaran laluan termasuk Terengganu.

"Malah, kontraktor tempatan juga pastinya akan menggunakan tenaga mahir dan separa mahir dalam kalangan anak tempatan yang dapat mewujudkan banyak peluang pekerjaan baharu, khususnya untuk generasi muda.

"Selain itu, semasa pembinaan ECRL dijalankan, kehadiran ribuan pekerja di tapak pembinaan akan menjana ekonomi setempat yang memberi manfaat kepada peniaga makanan, pengusaha inap desa, pengusaha kereta sewa dan usahawan kecil lain," katanya.

Bagi jangka panjang pula, jarak perjalanan ke Pantai Timur yang semakin pendek berbanding pengangkutan konvensional sedia ada akan menggalakkan lagi sektor pelancongan terutama pelancong domestik, katanya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata selain menyuntik impak positif ekonomi, ECRL juga dapat menyumbang kepada penjagaan alam sekitar menerusi konsep 'logistik hijau'.     

"Selain itu, aspek seperti kos barangan juga dapat dikurangkan kerana kos pengangkutan kargo menerusi kereta api adalah lebih murah berbanding pengangkutan darat yang digunakan selama ini. Peningkatan penggunaan ECRL untuk orang awam pula akan mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian yang secara tidak langsung akan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya," katanya.

Dalam pada itu, kalangan pemimpin dan penduduk Kelantan yang juga bakal mendapat manfaat secara langsung projek ECRL, yakin limpahan manfaat projek tersebut bakal mengubah landskap ekonomi negeri agar turut seiring dengan pertumbuhan di Pantai Barat.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata Syarikat Tok Bali Supply Base (TBSB) misalnya kini sedang berusaha supaya pelabuhannya dapat dinaik taraf kepada pelabuhan penuh.   

"Kalau usaha ini berjaya dan ditambah dengan kehadiran stesen kargo ECRL, ia akan merancakkan lagi pembangunan khususnya di Tok Bali dan Pasir Puteh secara amnya.

"Ini akan membawa kepada pertumbuhan pembangunan dan perumahan dan memberi kesan positif kepada penduduk," katanya

Presiden Persatuan Suara Anak Kelantan (Suara Kelantan) Che Isham Shahrudin Che Hamat Nordin berkata lebih banyak peluang pekerjaan akan tersedia susulan pertambahan 40 peratus pembabitan kontraktor tempatan berbanding 30 peratus sebelum ini yang bakal memberi manfaat kepada golongan muda negeri tersebut.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Jho Low ajar percepat proses pengeluaran jaminan kerajaan - Saksi

 
     

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel