Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pelajar istimewa teruja pelajari teknologi, asas pembuatan robot


Tarikh kemaskini: 04/08/2019





Oleh Zalina Maizan Ngah

KUALA NERUS, 4 Ogos (Bernama) -- Melihat ketidakupayaan dirinya dalam menguasai pembelajaran berbanding dengan mereka yang normal, seorang pelajar istimewa kategori disleksia tidak pernah terfikir akan berpeluang mempelajari binaan asas membuat robot dan mencipta sesuatu yang berasaskan ilmu sains, teknologi dan kejuruteraan.

“Tidak pernah terfikir akan dapat menyentuh dan buat robot," begitulah luahan Ahmad Adif Abid Admir, 13, ketika mempelajari binaan asas membuat robot pada Program STEM Uno For All di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Ahmad Adif, yang berpeluang bersama-sama 14 lagi pelajar Sekolah Kebangsaan Padang Hiliran, Kuala Terengganu, berkata tidak terlintas di fikirannya untuk mencipta sesuatu berasaskan ilmu sains, teknologi dan kejuruteraan seperti robot ekoran keupayaan penguasaan pembelajarannya yang lemah dan bukan daripada golongan berada.

"Sejak malam tak dapat tidur sebab asyik teringat nak datang buat robot. Bila dapat sambung wayar-wayar ini dan hasilkan bunyi rasa macam tak percaya.

"Saya sukar membaca tetapi saya dapat teka bagaimana hendak menyambung wayar-wayar ini dengan bantuan fasilitator," katanya yang perlu berdepan dengan Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR).

PASR dikhaskan kepada murid berkeperluan khas yang kurang berkemampuan untuk mengikuti kurikulum dan pentaksiran arus perdana serta berada pada tahun terakhir peringkat sekolah rendah berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah Pendidikan Khas (KSSRPK).

Seramai 16 pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) secara sukarela hadir sebagai fasilitator kepada pelajar istimewa dan menjayakan program anjuran UMT dan Bernama Biro Terengganu itu. 

Keterujaan dan keinginan mencipta robot juga jelas terpamer di wajah seorang pelajar kategori autisme, Muhammad Siraj Mirza Mohd Syahril Redhuan apabila berjaya menghasilkan cahaya dan lampu yang mampu bergerak hasil usaha beliau menyambung pelbagai jenis wayar.

Berasa seronok dengan apa yang dilakukannya, Muhammad Siraj Mirza meminta untuk mengulangi langkah dan teknik berkenaan dan mampu menyiapkannya dalam tempoh beberapa minit sahaja.

Program sehari itu bertujuan menerapkan perkongsian ilmu antara pelajar pintar dengan pelajar yang lemah dalam pembelajaran. Selain menerapkan budaya memahami golongan istimewa, program itu juga membuka ruang mencungkil bakat dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Sementara itu, Pengarah Pusat Asasi STEM UMT, Prof Madya Dr Laili Che Rose berkata program mendekati pelajar istimewa perlu diteruskan terutama dalam menunaikan hasrat kerajaan supaya semua pihak bersedia berdepan dengan Industri Keempat, Revolusi Keempat, Industri 4.0 atau Revolusi 4.0.

“Saya sentiasa terbuka dan dapat lihat bahawa apabila pelajar istimewa ini diberi peluang mereka juga mampu buat. Program ini adalah satu 'jambatan' dan tidak mustahil dapat libatkan mereka dalam bidang teknologi,” katanya.

Beliau berkata Naib Canselor UMT Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar yang kini berada di China atas urusan rasmi melahirkan penghargaan atas perlaksanaan program, yang jelas seiring Dasar Pendidikan Negara iaitu ‘University for Society’ dengan memberi peluang dan akses pendidikan kepada semua termasuk pelajar yang kurang bernasib baik. 

"Beliau (Nor Aieni) sempat menyatakan kepada saya bahawa program-program sebegini mampu memupuk semangat dan inspirasi bagi mengangkat kewibawaan dasar manusiawi universiti dan Pendidikan Tinggi Negara," katanya yang menerima masej Nor Aieni menerusi aplikasi WhatsApp.

Selain kerjasama antara UMT dan Bernama Biro Terengganu, program itu mendapat penajaan daripada orang perseorangan dan pihak Duyong Marina Resort yang menyediakan makanan kepada lebih 50 orang termasuk peserta dan guru.

Ketua Bahagian Jualan Duyong Marina Resort Farhana Adila Mohamad Yunus berkata pihaknya turut menyediakan kek yang memaparkan bendera Malaysia untuk dikongsi bersama peserta bagi menyemarakkan bulan kemerdekaan.

"Program ini ibarat memerdekakan jiwa mereka yang istimewa supaya tidak rendah diri dan rasa terpinggir. Pihak kami amat berbesar hati untuk bersama-sama dalam program sebegini dan bersedia mengulanginya jika diberi peluang," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel