Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Padah pinjam wang untuk perkahwinan


Tarikh kemaskini: 04/08/2019





KUANTAN, 4 Ogos (Bernama) -- Tindakan seorang pemandu membuat pinjaman kewangan untuk majlis perkahwinan menjerat diri apabila kerugian RM20,650 kerana diperdaya syarikat pemberi pinjaman tidak wujud. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa mendakwa membuat permohonan pinjaman pada 16 Mei lepas, selepas dihubungi wakil syarikat itu. 

Mangsa mendakwa tertarik untuk membuat pinjaman sebanyak RM30,000 selepas suspek mendakwa syarikat itu berdaftar di bawah Bank Negara dan memiliki lesen yang disyaratkan kerajaan untuk menjalankan perniagaan pemberi pinjaman kewangan. 

“Suspek seterusnya didakwa mengumpan mangsa dengan mengatakan mereka menawarkan kadar faedah pinjaman sebanyak lima peratus yang terhad dan mangsa merupakan antara individu bertuah untuk menerima kemudahan itu. 

“Untuk mendapatkan tawaran itu, mangsa diminta mengemukakan dokumen peribadi kononnya bagi tujuan pengesahan kelayakan permohonan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata suspek menghubungi mangsa pada keesokan hari memaklumkan pinjaman telah diluluskan dan menghantar salinan surat pengesahan menerusi aplikasi WhatsApp bagi menyakinkan mangsa. 

Suspek, bagaimanapun memberitahu mangsa perlu membuat bayaran RM500 sebagai bayaran pemprosesan untuk mengeluarkan pinjaman itu, yang diikuti dengan pelbagai bayaran lain yang akhirnya berlanjutan sehingga 12 transaksi. 

“Mangsa akhirnya berasa marah kerana wang pinjaman masih tidak diterima sedangkan telah menjelaskan bayaran yang besar dan menuntut supaya wangnya dikembalikan namun suspek melarikan diri,” katanya. 

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel