Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Uniform tentera berusia 86 tahun, imbas sejarah sebelum Merdeka


Tarikh kemaskini: 04/08/2019





MELAKA, 4 Ogos (Bernama) -- Kehadiran dua anggota berpakaian lengkap uniform Askar Melayu pada zaman British dan tentera Jepun pada zaman perang dunia kedua di pameran Muzium Tentera Darat di sini menarik perhatian orang ramai.

Mereka tidak melepaskan peluang untuk berswafoto dengan dua anggota tentera yang mengenakan uniform dihasilkan pada 1933 di reruai (booth) pameran yang diadakan bersempena pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 di Dataran Pahlawan, Banda Hilir.

Penyelia Pameran dan Promosi, Muzium Tentera Darat Port Dickson Staff Sarjan Haidzaan Yusof berkata objektif utama Tentera Darat Diraja Malaysia memilih konsep tersebut adalah untuk memberi pendedahan kepada orang ramai tentang sejarah negara sebelum mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

“Sepanjang tempoh pameran tiga hari yang bermula Jumaat lepas, kita tempatkan dua anggota Tentera Darat berpakaian lengkap uniform asli Askar Melayu dan tentera Jepun bagi membolehkan orang ramai melihat secara dekat uniform yang berusia 86 tahun itu.

“Kita harap dengan cara ini dapat menarik minat orang ramai khususnya generasi muda untuk memahami sejarah negara, lebih-lebih lagi pada bulan kemerdekaan ini,” katanya kepada Bernama di sini.

Selain daripada uniform, pihak Muzium Tentera Darat turut mempamerkan beberapa artifak lain seperti topi besi tentera British, pelbagai jenis senapang serta peralatan lain berkaitan dengan ketenteraan yang digunakan oleh tentera British dan tentera Jepun pada zaman perang dunia kedua.

Seorang pengunjung, Sharim Dol, 46, dari Bukit Rambai yang berasa teruja apabila dapat berswafoto dengan anggota tentera berpakaian uniform lama itu, berkata: “Saya rasa gembira dapat bergambar dengan anggota tentera berpakaian uniform tentera British sebagai kenangan yang sedikit sebanyak memberi peringatan kepada kita rakyat Malaysia agar menghargai keamanan hari ini.

“Apa yang kita warisi hari ini adalah hasil daripada pengorbanan pejuang kemerdekaan terdahulu yang sanggup bermandikan keringat dan darah demi kebahagiaan anak bangsanya,” kata penjawat awam itu.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel