Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MOA mahu jadikan Kampung Paloh di Tanah Merah lembah jagung


Tarikh kemaskini: 03/08/2019





TANAH MERAH, 3 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berhasrat menjadikan projek tanaman jagung manis di Kampung Paloh, Tanah Merah sebagai Lembah Jagung bagi meningkatkan pergeluaran hasil tanaman itu di negara ini.

Ketua Setiausahanya Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan berkata hasrat itu berikutan projek tanaman jagung di kampung terbabit berpotensi dimajukan, membabitkan 54 peserta dengan keluasan 32 hektar yang diselia melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tanah Merah.

"Kementerian mahu penglibatan anak-anak muda bagi memastikan hasrat itu dapat dilaksanakan berikutan ketika ini projek di sini hanya diusahakan oleh golongan yang berusia.

"Kami juga merancang untuk mengkomersialkan produk tanaman terbabit untuk dijadikan jus jagung melalui hasil jagung yang kurang bermutu bagi mengurangkan kos kerugian," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Program Projek Jagung Manis Kampung Paloh di sini hari ini.

Mohd Sallehhuddin berkata tahun ini sahaja sebanyak RM960,000 hasil tanaman jagung  di projek terbabit telah diperoleh.

"Kami berusaha untuk menambah baik sistem pengairan sedia ada susulan petani mengalami kesukaran menyiram tanaman jagung pada musim panas.

"Begitu juga kami mengharapkan kerjasama daripada kerajaan negeri dalam usaha membantu meluaskan kawasan ini bagi menjadikan kawasan tanaman jagung di sini sebagai lembah tanaman jagung di Kelantan dan Malaysia," katanya.

Mohd Sallehhuddin berkata bagi meningkatkan mutu tanaman jagung, kementerian turut bekerjasama dengan pelbagai jabatan termasuk Jabatan Pertanian, Jabatan Veterinar, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Selain itu MOH juga mahu menjadikan produk jagung sebagai makanan untuk ternakan yang sebelum ini kebanyakannya diimport dari negara luar.

"Kami mahu pelbagaikan produk asas jagung bagi meningkatkan pendapatan petani tidak hanya bergantung kepada jualan jagung sahaja," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel