Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

APMM tahan tiga lelaki dipercayai curi besi buruk dari kapal


Tarikh kemaskini: 03/08/2019





JOHOR BAHRU, 3 Ogos (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan tiga lelaki dipercayai warga Indonesia dan merampas lebih dua tan besi buruk yang dicuri di perairan Pontian, malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata kesemua lelaki berumur antara 23 dan 43 tahun yang menaiki sebuah bot kayu itu ditahan pada 12.30 malam di kedudukan kira-kira 3.2 batu nautika tenggara Pulau Kukup.

"Daripada maklumat yang diterima Pusat Operasi APMM Johor dan pantauan radar Area Control Center (ACC) Johor di Tanjung Piai, kapal peronda APMM yang sedang melaksanakan Op Jaksa berjaya mengesan dan menahan sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran atau lebih dikenali sebagai bot lima sore bersama tiga individu yang disyaki melakukan jenayah curi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Aminuddin berkata pemeriksaan di dalam bot tersebut menemui lebih dua tan besi buruk yang dipercayai dicuri daripada kapal-kapal yang bergerak perlahan dan mempunyai ketinggian dari aras permukaan laut yang rendah.

Beliau berkata siasatan mendapati kesemua lelaki itu melakukan jenayah tersebut secara berkumpulan, namun, tidak menggunakan senjata.

Katanya bot dan ketiga-tiga mereka kemudian dibawa ke Jeti Maritim Sungai Pulai, Pontian untuk siasatan lanjut.

"APMM Johor akan sentiasa mengoptimumkan segala sumber yang ada untuk mengekang dan membanteras kegiatan-kegiatan yang menyalahi undang-undang yang terpakai di Zon Maritim Malaysia.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau maklumat berhubung kegiatan menyalahi undang-undang boleh menghubungi Pusat Operasi APMM Johor di talian 07-2199041 manakala bagi sebarang kejadian kecemasan di laut hubungi MERS 999," katanya.

-- BERNAMA  


 

   

 
 
     
   
 

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     

Semua sekolah di Putrajaya dibuka esok

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel