Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Operasi mencari bot pekerja resort Pulau Tenggol diperluaskan ke perairan Marang


Tarikh kemaskini: 02/08/2019





DUNGUN, 2 Ogos (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga pekerja resort di Pulau Tenggol yang hilang sejak dua hari lepas, diperluaskan ke kawasan perairan Marang bagi mencari petunjuk baharu.

“Setakat ini, kita belum menemui apa-apa petunjuk sama ada bot itu karam atau hanyut. Kita sedang berusaha mendapatkan petunjuk dengan mencari barang-barang pada bot yang mungkin dihanyutkan arus.

“Operasi SAR dijangka dihentikan malam ini dan bersambung esok,” kata Pengarah Zon Maritim Kemaman Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Lt Komander Maritim Rashidilhadi (Rashidilhadi) Abdul Rashid di pusat gerakan operasi di Jeti Aking di sini, hari ini.

Selain operasi SAR, pihaknya juga membuat hebahan kepada komuniti maritim termasuk kapal dagang dan nelayan bagi membantu usaha pencarian.

Tiga pekerja resort berkenaan iaitu Fauzi Mohamad, 40, Muhammad Firdaus Mohd Awalluddin, 25, dan Mohamad Hafiz Abd Rahim, 22, dikhuatiri hilang berikutan gagal dihubungi dan tidak tiba di pulau berkenaan selepas bertolak dari jeti Kuala Dungun dengan menaiki sebuah bot.

Dalam perkembangan lain, polis memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak mengambil kesempatan dengan mengutip derma kononnya bagi membantu keluarga tiga pekerja resort yang hilang di laut.

Ia susulan terdapat aduan tidak rasmi daripada beberapa pihak yang mendakwa menerima mesej menerusi WhatsApp daripada individu yang menyamar sebagai waris kepada keluarga Muhammad Firdaus, yang berasal dari Johor bagi meminta bantuan kewangan.

Ketua Polis Derah Dungun, Supt Baharudin Abdullah berkata pihaknya memandang serius perkara itu yang disifatkan sebagai 'menangguk di air keruh' ketika keluarga mangsa dilanda musibah.

"Kita sudah dimaklumkan mengenai perkara ini tetapi setakat ini tiada laporan rasmi dibuat. Jika ada kita akan ambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang ada bagi memastikan perkara sedemikian tidak berleluasa.

"Jadi saya minta kepada mana-mana pihak yang menerima mesej atau panggilan meragukan memohon derma atau apa sahaja supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk pengesahan," katanya kepada pemberita di pusat gerakan itu.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan perlu menggunakan saluran yang betul dan boleh dipercayai seperti Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang sememangnya ditugaskan untuk menjaga kebajikan penduduk di satu-satu kawasan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel