Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penyediaan RMK12: Sesi libat urus dengan negeri bantu kelancaran projek


Tarikh kemaskini: 02/08/2019





GEORGE TOWN, 2 Ogos (Bernama) -- Sesi libat urus penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dianjurkan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bersama semua kerajaan negeri membantu dalam memastikan projek-projek yang bakal dilaksanakan dalam tempoh itu berjalan lancar dan mengikut jadual.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini berkata sesi libat urus itu penting bagi mengelak projek daripada tergendala dan terbengkalai seperti dalam RMK sebelum ini.

"Projek-projek dalam RMK sebelum ini tergendala mungkin (kerana) tidak ada perbincangan awal dengan kerajaan negeri. Ini projek-projek yang mungkin dilakukan Kerajaan Persekutuan tanpa mendapat persetujuan kerajaan negeri.

"Sebab itulah saya dan kementerian saya berpendapat penting sebelum kita menggubal dokumen ini kita harus dengar dulu (pandangan) kerajaan negeri kerana hanya dengan penglibatan kerajaan negeri projek-projek ini dapat berjalan dengan lancar dan baik mengikut jadual dan inilah yang kita lakukan," katanya pada sidang media, di sini.

Terdahulu, Mohamed Azmin dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mempengerusikan sesi libat urus bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi penyediaan RMK12.

Mohamed Azmin berkata sebelum ini sesi libat urus dalam penyediaan dokumen RMK hanya dibuat di peringkat persekutuan di antara kementerian dengan kementerian lain.

"Tetapi kali ini kita mengambil pendekatan untuk turun ke negeri-negeri mendengar sendiri dan bertemu sendiri dengan pihak berkuasa negeri yang melibatkan semua agensi yang berkaitan, untuk berbincang apa yang perlu menjadi keutamaan negeri,” katanya.

Menurutnya Pulau Pinang menjadi negeri keenam bagi sesi libat urus berkenaan dan sesi itu akan diteruskan ke negeri-negeri lain.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan Pulau Pinang tidak akan dipinggirkan daripada mendapat manfaat menerusi RMK12 yang dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada bulan Ogos atau September tahun depan.

Katanya terdapat beberapa projek yang dicadangkan oleh kerajaan negeri ini termasuk cadangan menaik taraf hospital-hospital kerajaan untuk diberikan keutamaan bagi projek-projek yang akan dilaksanakan dalam RMK12.

Mohamed Azmin berkata kementeriannya juga akan memberi sokongan kepada mana-mana projek untuk muwujudkan sistem pengangkutan yang lebih komprehensif seperti projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

"Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif untuk mengemukakan satu master plan berhubung pengangkuatan di negeri Pulau Pinang dan perkara ini kita akan teliti. Secara dasar kita mendukung sebarang usaha untuk mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian, ia dasar nasional kita.

"Kita menggalakkan orang ramai menggunakan kenderaan awam pada kadar yang berpatutan dengan sistem pengangkutan yang lebih komprehensif dan bersepadu," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel