Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, kerajaan negeri Pulau Pinang adakan sesi libat urus RMK12


Tarikh kemaskini: 02/08/2019





PUTRAJAYA, 2 Ogos (Bernama) -- Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) hari ini mengadakan sesi libat urus penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk tempoh 2021-2025 dengan kerajaan negeri Pulau Pinang yang dipengerusikan bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Menurut kenyataan MEA, Pulau Pinang merupakan negeri keenam jelajah sesi libat urus ini yang telah bermula sejak 5 Julai lepas.  

"Pulau Pinang merupakan antara negeri yang paling membangun dan kelima tertinggi dalam sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nasional dengan nilai sebanyak RM91.18 bilion atau 6.7 peratus daripada KDNK pada 2018.

"Oleh itu, RMK12 akan dirangka bagi menjayakan rancangan pembangunan di peringkat Persekutuan dan negeri, di mana potensi dan kekuatan yang dimiliki Pulau Pinang diberi perhatian dan diambil kira agar kemajuan yang holistik dan inklusif dapat direalisasikan," katanya. 

Katanya mesyuarat hari ini membincangkan mengenai perkembangan dan usaha kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Pulau Pinang dalam bidang pertumbuhan utama ekonomi seperti pembangunan pengangkutan dan logistik yang bersepadu dan lestari, penyelidikan dan pembangunan, pertanian pintar dan pembangunan modal insan.

"Pertemuan pada hari ini membincangkan bagaimana kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Pulau Pinang dapat berganding bahu untuk mencipta sumber pertumbuhan ekonomi yang baharu.

"Ini bertujuan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai antara penggerak ekonomi utama di wilayah utara dan pada masa sama merapatkan jurang ekonomi antara kelas pendapatan, kaum dan wilayah supaya dapat sama-sama menikmati kekayaan negara," katanya. 

MEA merupakan kementerian yang diamanahkan untuk menyediakan RMK12 sebagai dokumen pembangunan jangka sederhana dan panjang negara.

Ia selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Mei lepas yang menggariskan Wawasan Kemakmuran Bersama sebagai satu iltizam untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang terus membangun secara mampan dan inklusif.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     

SPR terpaksa guna pakai persempadanan semula tahun lepas

 
     

Pemanis sokong saranan Anwar Ibrahim semua majlis anjuran kerajaan wajib guna Bahasa Melayu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel