Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pameran Orkid Pulau Pinang dari 11 hingga 18 Ogos


Tarikh kemaskini: 02/08/2019





GEORGE TOWN, 2 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Gabungan Persatuan Orkid Malaya (FOMOS) akan menganjurkan Pameran Orkid Pulau Pinang 2019 dari 11 hingga 18 Ogos di Taman Botani Pulau Pinang di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Negeri Yeoh Soon Hin berkata acara itu diadakan setiap tahun untuk mempromosikan Pulau Pinang sebagai negeri pengeluar orkid di samping mendidik orang ramai tentang penanaman serta penjagaan orkid.

"Acara ini akan menarik pengunjung dari negeri lain terutamanya pencinta orkid untuk datang ke Pulau Pinang. Ia akan berlangsung sepanjang minggu dengan memberi tumpuan kepada pertandingan dan jualan orkid. Pengadil orkid dari semua negeri dalam Malaysia, Singapura dan Thailand akan berhimpun dalam acara yang besar ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau  berkata pameran itu akan turut disertai wakil dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat Universiti Sains Malaysia diketuai Pof Madya S Sreeramanan untuk mendidik orang ramai tentang kultur tisu orkid dan bio konservasi.

Pengerusi Pengelola FOMOS Tony Tan berkata tiada bayaran masuk dikenakan untuk mengunjungi pameran itu. Katanya sejumlah 600 orkid eksotik dan berwarna-warni daripada 60 jenis spesies, kelas, dan hibrid, akan diketengahkan dalam pameran itu.

"Kira-kira 10,000 hingga 20,000 pengunjung dijangka memeriahkan pameran itu yang berlangsung dari 9 pagi hingga 9 malam setiap hari," kata Tan.

Sementara itu, Yeoh berkata pendaftaran bagi pertandingan ratu cantik Miss Asia Global Malaysia 2019/2020 bermula hari ini dan kerajaan negeri bersama-sama dengan penganjur, Miss Asia Global Malaysia Pageant, akan mengumumkan tarikh serta venue bagi saringan awal yang akan diadakan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor Bahru, serta Kuching, Sarawak.

Beliau berkata acara itu yang diadakan buat julung kali di Pulau Pinang dijangka menarik lebih ramai pelancong dan pada masa sama, memberi peluang untuk mempromosi keindahan serta keunikan landskap negeri ini kepada dunia.

Penyertaan dibuka mulai sekarang hingga 20 Ogos kepada semua wanita warga Malaysia berusia antara 18 hingga 28, masih bujang dan mempunyai ketinggian minimum 165 sentimeter.  Pemohon perlu mendaftar dalam talian menerusi https://forms.gle/t6TZ5ZQXhukyrLAy8.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel