Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Maritim tahan 14 pendatang asing tanpa izin


Tarikh kemaskini: 02/08/2019




BATU PAHAT, 2 Ogos (Bernama) -- Bukan sahaja dikenakan tambang yang tinggi oleh ‘tekong darat’, malah 14 pendatang asing tanpa izin terpaksa bertarung nyawa apabila bot yang dinaiki mereka untuk keluar dari sempadan negara menerusi laluan yang tidak sah, mengalami masalah enjin sehingga terapung hampir 10jam di laut, semalam.

Pengarah Maritim Zon Batu Pahat Komander Maritim Mohammad Othman berkata bot itu ditahan ketika berada berhampiran perairan barat Pulau Pisang, pada pukul 3.25 petang.

Beliau berkata setelah diperiksa, anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Zon Maritim Batu Pahat mendapati 17 individu iaitu 14 pendatang asing tanpa izin, seorang tekong serta dua awak-awak berada di dalam bot berkenaan.

"Kesemua pendatang asing tanpa izin itu merupakan rakyat Indonesia yang terdiri daripada sembilan lelaki dan lima wanita berusia antara 20 dan 50 tahun, dan tekong juga merupakan rakyat Indonesia, manakala dua awak-awak masing-masing seorang warga Indonesia dan seorang tempatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya siasatan awal mendapati kesemua pendatang asing tanpa izin yang bekerja di Selangor dan Pahang itu, dalam perjalanan ke Dumai, Indonesia, di mana mereka dikenakan bayaran antara RM1,000 hingga RM1,850 tiap seorang.

Mohammad berkata semua mereka akan didakwa mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, yang jika didapati bersalah mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Pihak kami masih lagi memburu tekong darat berkenaan. Kesemua 14 pendatang asing tanpa izin, tekong dan awak-awak warga Indonesia itu direman selama 14 hari bermula hari ini, manakala awak-awak tempatan pula direman selama tujuh hari,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel