Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Loji rawatan air PBAPP terima anugerah emas MSOSH


Tarikh kemaskini: 02/08/2019





GEORGE TOWN, 2 Ogos (Bernama) -- Dua loji rawatan air (LRA) kendalian Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menerima Anugerah Emas daripada Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH).

LRA Batu Ferringhi muncul pemenang Anugerah Merit Emas MSOSH OSH 2018 bagi prestasi ‘Cemerlang’, manakala LRA Bukit Toh Allang pula merangkul Anugerah Kelas 1 Emas MSOSH OSH  2018 bagi prestasi ‘Sangat Baik’.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan PBAPP hari ini, kedua-dua anugerah itu diberi kepada LRA berkenaan bagi keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam sektor utiliti.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Jaseni Maidinsa berkata kedua-dua LRA itu dipilih sebagai pemenang kerana tidak merekodkan sebarang kecederaan, kemalangan dan kejadian berbahaya selama tiga tahun berturut-turut.

“Kedua-dua anugerah itu mengiktiraf standard keselamatan tinggi yang dilaksanakan di kedua-dua LRA ini bagi manfaat para petugas PBAPP,” katanya, dan menambah, pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) syarikat itu adalah berdasarkan kepada pensijilan Siri Penilaian Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan  (OHSAS) 18001:2007.

Jaseni, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif PBA Holdings Bhd (PBAHB), syarikat induk PBAPP, berkata sistem pengurusan OSH mereka menyokong keperluan untuk memberi khidmat bekalan air yang baik secara berterusan di Pulau Pinang bagi manfaat 1.77 juta penduduknya, di samping semua perniagaan di negeri ini.

“Sistem OSH turut menyokong dasar ‘tiada catuan air’ kerajaan Pulau Pinang dengan meminimumkan risiko gangguan bekalan air dan bekalan air  waktu gendala,” katanya.

Menurut beliau, penyertaan syarikat itu dalam program prestasi MSOSH yang diadakan setiap tahun akan membolehkan badan bebas untuk menilai prestasi OSH, berkongsi pengalaman dan mengumpul maklumat berkaitan amalan terbaik paling terkini serta untuk menanda aras prestasi mereka dengan standard MSOSH.

“Pemilihan PBAPP sebagai penerima dua Anugerah Emas MSOSH menunjukkan bahawa LRA Batu Ferringhi dan LRA Bukit Toh Allang adalah antara tempat kerja syarikat utiliti paling selamat di Malaysia. Tambahan pula, kedua-dua anugerah ini membuktikan LRA boleh beroperasi dengan optimum tanpa menjejaskan aspek keselamatan,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

LZS akan terus beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatan libatkan dana LZS dan RTM

 
     

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel