Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pulau Pinang sokong cadangan tenggelamkan bot nelayan menceroboh


Tarikh kemaskini: 01/08/2019





GEORGE TOWN, 1 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyokong penuh sekiranya Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mengaramkan bot-bot nelayan asing yang ditahan kerana menceroboh perairan negara.

Pengerusi Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Afif Bahardin berkata usaha itu penting bagi menjaga kepentingan nelayan-nelayan serta sumber-sumber perikanan setempat.

"Tindakan ini akan menghantar mesej yang kuat dan tegas kepada pihak yang cuba menceroboh perairan negara. Pihak Indonesia telah menjalankan penguatkuasaan radikal ini sejak empat tahun lalu malah ada kapal nelayan dari Malaysia yang ditangkap telah ditenggelamkan," katanya dalam sidang akhbar di sini.

Pada 29 Julai lalu, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Malaysia sedang meneliti cadangan untuk memusnahkan atau menenggelamkan kapal-kapal nelayan asing yang ditahan kerana menceroboh perairan negara.

Beliau berkata Malaysia kini berdepan dengan kekurangan tempat menyimpan bot-bot nelayan asing yang telah dirampas oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, Dr Afif juga mencadangkan kepada pihak berkuasa agar lebih teliti dalam menyelesaikan masalah bot pukat tunda yang menceroboh zon yang telah ditetapkan.

Katanya jika dibiarkan berlarutan, ekosistem laut dan sumber perikanan tidak akan dapat dilindungi untuk generasi akan datang.

Menyentuh projek tambakan selatan Pulau Pinang (PSR), beliau berkata sebuah jawatankuasa di bawah pasukan bertugas yang dipengerusikannya akan ditubuhkan untuk berunding dengan nelayan-nelayan yang berkemungkinan akan terjejas akibat pelaksanaan projek itu nanti.

Katanya jawatankuasa itu bertanggujawab untuk menjalankan program-program atau usaha mitigasi yang ingin dirancang dan dilaksanakan oleh kerajaan negeri untuk menjaga kebajikan nelayan-nelayan yang terlibat.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     

SPR terpaksa guna pakai persempadanan semula tahun lepas

 
     

Pemanis sokong saranan Anwar Ibrahim semua majlis anjuran kerajaan wajib guna Bahasa Melayu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel