Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

"Saya tidak ditahan polis," kata wartawan Romania


Tarikh kemaskini: 01/08/2019




IPOH, 1 Ogos (Bernama) -- Seorang wartawan wanita warga Romania mengesahkan beliau tidak ditahan polis hari ini, sebaliknya hanya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik bagi tujuan dokumentasi.

Alexandra Radu berkata beliau dibawa ke IPD Gerik kira-kira 11.30 pagi semasa sedang berada di Kampung Sungai Papan, Gerik, untuk membuat liputan sekatan yang dipasang oleh penduduk Orang Asli untuk menghalang pembalak.

"Saya berada di sana sekitar 10 pagi, merakamkan sekatan itu apabila polis tiba kira-kira 11 pagi dan membawa saya ke balai polis kira-kira 11.30 pagi. Tetapi mereka beritahu saya ia hanyalah untuk tujuan dokumentasi.

"Saya datang ke Gerik semalam seorang diri hanya untuk membuat liputan isu sekatan itu," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Menurut Radu, yang bekerja dengan ‘The Diplomat’, media Amerika Syarikat yang menyiarkan berita tentang Asia Tenggara dan berpangkalan di Kuala Lumpur, beliau dibenarkan pulang pada 2 petang selepas kenyataannya dirakamkan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik Supt Ismail Che Isa menafikan dakwaan bahawa wartawan tersebut ditahan, sebaliknya menegaskan Radu hanya dibawa IPD untuk dokumentasi. 

"Semasa pihak syarikat merobohkan sekatan masuk ke kawasan pembalakan yang dibuat oleh Orang Asli, seorang wartawan asing ada di lokasi dan disyaki untuk membuat liputan.

"Sebab itu polis membawanya ke IPD untuk merekodkan kenyataan beliau sebagai saksi, dan beliau tidak ditahan," katanya. 

Penduduk orang Asli Kampung Sungai Papan daripada suku Temiar membuat sekatan di laluan masuk ke kawasan pembalakan sejak Julai lepas kerana mendakwa mahu mempertahankan hak tanah adat mereka.

Pada 23 Julai, polis menahan tiga penduduk berumur 20 hingga 40-an yang kemudian direman selama dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 341 Kanun Keseksaan kerana menghalang kenderaan secara salah.

Semua mereka bagaimanapun dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Gerik pada 25 Julai.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     

Semakan keputusan kemasukan MRSM tingkatan satu bermula hari ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel