wPlKKEmr6Rw SPRM mula siasat Laporan Ketua Audit Negara
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

SPRM mula siasat Laporan Ketua Audit Negara


Tarikh kemaskini: 01/08/2019





MELAKA, 1 Ogos (Bernama) – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menggerakkan pasukan petugas khasnya bagi menjalankan siasatan terhadap kes-kes jika wujud unsur rasuah dan penyelewengan susulan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara, baru-baru ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, pihaknya telah bertemu dengan Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid bagi membincangkan perkara tersebut dan pasukan petugas khas itu akan membuat siasatan terhadap kes-kes yang membabitkan unsur jenayah.

“Laporan Audit ini adalah besar dan banyak, dari situ kita akan lihat beberapa jenis masalah antaranya ketirisan, tatatertib atau mungkin kes berkaitan sistem atau prosedur tetapi ini dikendalikan oleh peringkat jabatan itu sendiri.

“SPRM akan hanya melihat kes yang melibatkan unsur jenayah rasuah...oleh itu kita perlu mengkaji semula dan mengenal pasti kes dan kes ini telah pun dirujuk kepada pasukan petugas yang baharu,” katanya pada sidang media selepas Program ‘Melaka Tolak Rasuah peringkat negeri' sempena Tahun Melawat Melaka 2019 di Menara Taming Sari, di sini, hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan Ketua Menteri, Adly Zahari serta turut dihadiri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hasim Hasan dan Exco Pelancongan Warisan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Muhamad Jailani Khamis.

Latheefa berkata, pihaknya tidak boleh mendedahkan hal berkaitan operasi dan akan dimaklumkan setelah siasatan selesai.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sehingga Julai 2019 pihaknya telah menerima sebanyak 137 maklumat daripada pelbagai pihak dan sebanyak 42 buah Kertas Peperiksaan Awal (KPA) telah dibuka.

Katanya, SPRM juga telah menahan seramai 13 orang penjawat awam dan empat orang awam sepanjang tempoh tersebut dan telah melakukan sebanyak enam pertuduhan  mahkamah.

Latheefa mengakui bahawa pihaknya banyak menerima maklumat dan aduan daripada orang ramai berhubung kes rasuah namun adalah menjadi tanggungjawab SPRM sebagai sebuah badan profesional  membuat siasatan terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan terhadap pelaku jenayah rasuah.

“Kita kena pastikan bahawa fakta daripada maklumat yang diberikan adalah benar dan tidak mempunyai unsur fitnah dan siasatan terhadapnya akan dilakukan secara teliti dan profesional sebelum kertas siasatan dibuka untuk tindakan lanjut,” katanya,

Sementara itu, mengulas mengenai program tersebut, Latheefa berkata ia adalah salah satu usaha SPRM di peringkat sayap pencegahan menyediakan platform kepada orang ramai untuk memberikan apa-apa maklumat berkaitan isu salah laku atau tindakan rasuah.

“Kita cuba membantu orang awam bagaimana untuk membuat aduan...banyak cara termasuk menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS), melalui e-mel atau dengan cara konvensional iaitu menerusi surat,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel