Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

30,000 pengunjung dijangka hadir Pelancaran Bulan Kebangsaan - Adly


Tarikh kemaskini: 01/08/2019





MELAKA, 1 Ogos (Bernama) -- Seramai 30,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir, Sabtu ini, kata Ketua Menteri Melaka Adly Zahari.

Beliau berkata untuk itu, sebanyak 10 bas Panorama disediakan untuk mengambil orang ramai bermula pukul 3 petang hingga 12.15 tengah malam, Sabtu.

“Kesemua bas ini akan beroperasi secara bergilir-gilir di dua 'pick up point' iaitu Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Jalan Hang Tuah dan Stadium Tun Fatimah di Semabok. Penumpang kemudian akan diturunkan di Medan Samudera di Bandar Hilir dan boleh berjalan kaki ke Dataran Pahlawan.

"Orang ramai boleh meletakkan kenderaan mereka di UTC dan Stadium Tun Fatimah kerana di sana terdapat ruang parkir yang mencukupi bagi mengelak kesesakan ke Bandar Hilir. Anggota trafik juga akan bertugas untuk mengawal lalu lintas pada hari berkenaan dan pengguna jalan raya diminta mengikut arahan anggota bertugas agar kesesakan trafik dapat dikawal," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam temu bual bersama MelakaFM mengenai majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019, di sini.

Rabu lepas, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo dilaporkan berkata pemilihan Melaka sebagai lokasi pelancaran itu adalah berdasarkan faktor sejarah, dan negeri ini menjadi lokasi pengisytiharan kemerdekaan negara pada 20 Feb 1956 di Bandar Hilir.

Dataran Pahlawan turut dikenali Padang Bandar Hilir, merupakan tempat bersejarah dengan kawasan itu merupakan lokasi menyambut kepulangan Rombongan Kemerdekaan dari London diketuai Perdana Menteri pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bagi mengumumkan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 yang bertemakan 'Sayangi Malaysiaku: Malaysiaku Bersih' itu dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 3 Ogos ini, pada pukul 8 malam.

Pelbagai persembahan budaya dan warisan serta pertunjukan bunga api turut diadakan bagi memeriahkan majlis pelancaran tersebut.

Mengulas lanjut, Adly berkata orang ramai juga dinasihatkan agar datang lebih awal ke Bandar Hilir bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan trafik.

“Selain itu, mereka boleh melawat ikon sejarah yang dapat mengimbau kenangan sambutan kemerdekaan seperti Memorial Kemerdekaan, Kota A Famosa dan Stadthuys,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Jho Low ajar percepat proses pengeluaran jaminan kerajaan - Saksi

 
     

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel