Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Operasi mencari pekerja resort hilang diteruskan


Tarikh kemaskini: 01/08/2019





DUNGUN, 1 Ogos (Bernama) -- Operasi mencari tiga pekerja resort yang dikhuatiri hilang di perairan Pulau Tenggol dekat sini petang semalam disambung semula kira-kira pukul 7.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Baharudin Abdullah berkata seramai 100 anggota termasuk polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta pekerja resort terbabit dalam operasi berkenaan.

Beliau berkata operasi pencarian membabitkan kawasan 10 batu nautika dari Pulau Tenggol.

"Selain pencarian di laut, kita juga menggerakkan operasi di sekitar pesisir pantai termasuk di muara Kuala Dungun sehingga ke pantai Sura Hujung.

"Polis turut mendapatkan bantuan dua kapal daripada APMM, dua bot ronda polis marin serta empat bot daripada pengusaha resort," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Pengarah Zon Maritim Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata pihaknya akan menggunakan unit bantuan udara dalam operasi pencarian tersebut.

Katanya setakat ini tiada sebarang petunjuk ditemui, namun pihaknya tidak menolak kemungkinan bot mangsa dipukul ombak memandangkan keadaan laut yang bergelora petang semalam.

Tiga pekerja resort di Pulau Tenggol, Fauzi Mohamad, 40, Muhammad Firdaus Mohd Awalluddin, 25, dan Mohamad Hafiz Abd Rahim, 22, dilaporkan hilang selepas menaiki bot dari jeti Aking di Seberang Pintasan, di sini menuju ke Pulau Tenggol kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam.

Difahamkan, sehingga 3 petang, mangsa belum tiba di Pulau Tenggol, namun usaha pihak pengurusan serta kakitangan Tenggol Island Resort menghubungi mereka tidak berjaya lalu membuat laporan polis kira-kira 4 petang.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

LZS akan terus beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatan libatkan dana LZS dan RTM

 
     

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel