Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Maqis tahan makanan sejuk beku babi, kepak ayam tanpa permit


Tarikh kemaskini: 01/08/2019





JOHOR BAHRU, 1 Ogos (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menahan beberapa produk makanan sejuk beku tanpa permit di Terminal Feri Tanjung Belungkor, dekat Kota Tinggi, Isnin lepas.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Maqis berkata penahanan produk makanan sejuk beku yang membabitkan daging babi, bebola babi dan kepak ayam di laluan penumpang terminal feri itu susulan pemeriksaan ke atas warga Singapura yang membawa produk berkenaan dan didapati tidak mempunyai sijil kesihatan mahupun permit (IP) oleh Maqis.

Pemeriksaan ketat di pintu masuk negara untuk mengesan kemasukan daging dan produk khinzir diteruskan walaupun Malaysia masih bebas daripada penyakit Demam Babi Afrika (ASF), kata kenyataan itu.

ASF adalah penyakit yang boleh menyebabkan kematian hampir 100 peratus khinzir dan khinzir liar serta ia boleh menjejaskan industri penternakan khinzir negara bernilai kira-kira RM5 bilion jika tidak dicegah.

Kerajaan amat serius menjaga biosekuriti dan keselamatan makanan kerana tidak mahu virus atau serangga dibawa masuk kerana ia akan merosakkan industri tanaman atau ternakan serta menjejaskan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

"Perbuatan mengimport babi dan produk babi tanpa permit yang sah daripada Maqis adalah menjadi suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan 2011.

"Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM150,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali," kata jabatan itu.  

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel