Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan Kelantan galak pengusaha produk makanan tingkatkan kreativiti dan inovasi


Tarikh kemaskini: 01/08/2019




KOTA BHARU, 1 Ogos (Bernama) -- Penjual dan pengusaha produk makanan di Kelantan perlu kreatif dan inovatif dalam mempromosikan tarikan dan produk yang ditawarkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata ia penting untuk menarik lebih ramai pelanggan dan sekali gus dapat meningkatkan hasil pendapatan mereka. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Festival Produk dan Makanan Halal Thailand 2019 di AEON Mall Kota Bharu di sini, malam tadi.

Hadir sama, Konsul Jeneral Thailand di Kota Bharu, Mongkol Sinsomboon dan Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran Sempadan Wilayah Selatan (SBPAC) Somkeart Ponprayoon.

Katanya, pengusaha produk makanan seharusnya sentiasa kreatif dan inovatif dengan mengolah makanan tradisi menjadi satu produk yang baharu untuk menarik lebih ramai pelanggan. 

“Sebagai contoh, kalau kita tengok orang Kelantan makan ubi dengan nyior (kelapa), buat sira dan bakar, tapi orang Thailand kreatif dan berani buat inovasi, dia lenyek ubi dan letak inti di dalam sebagai satu daya tarikan baharu,” katanya.

Dr Izani berkata dengan adanya festival sebegini ia dapat membuka peluang kepada rakyat di negeri ini terutama kepada pengusaha produk makanan untuk mempelajari inovasi makanan yang dilakukan oleh rakyat Thailand. 

“Ia ibarat satu pertukaran teknologi makanan, dan banyak jenis makanan halal Thailand yang boleh ditiru oleh rakyat negeri ini, dan dibuat di negeri ini, katanya. 

Katanya, festival ini juga secara tidak langsung dapat mengukuhkan hubungan baik yang erat selain kerjasama ekonomi dan kebudayaan antara Malaysia dan Thailand, khususnya di Kelantan dan selatan Thailand. 

“Hubungan baik ini juga boleh menjamin keselamatan antara dua negara, katanya. 

Festival selama enam hari yang julung kali melibatkan lima wilayah Thailand iaitu Narathiwat, Yala, Pattani, Satun dan Songkhla bermula 30 Julai lalu melibatkan 64 gerai jualan termasuk 30 gerai makanan dan juga kraftangan, aksesori dan sebagainya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel