Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MPKKB Machap Umboo jalan pemilihan secara undian - Adly


Tarikh kemaskini: 31/07/2019





MELAKA, 31 Julai (Bernama) – Buat julung kalinya kerajaan negeri Melaka bersetuju untuk mengadakan pemilihan secara undian dari komuniti kampung itu sendiri bagi melantik Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Baru (MPKKB) Machap Umboo.

Ketua Menteri Adly Zahari berkata pemilihan tersebut akan menjadi projek perintis kepada pemilihan MPKKB di negeri ini dan proses undian akan dibantu oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

“Ini merupakan satu perkara baharu dalam sistem pemilihan di peringkat komuniti kampung dan kita harap ianya akan memberi peluang kepada penduduk kampung itu sendiri memilih pemimpin mereka yang diadakan setiap dua tahun sekali.

“Kita berharap dengan projek perintis ini pemilih pemimpin di peringkat komuniti di negeri ini dapat dilakukan dengan lebih demokrasi dan hanya mereka yang terbaik sahaja dipilih untuk berkhidmat kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Katanya proses tersebut bukan satu perkara mudah kerana ianya melibatkan beberapa perkara seperti kos yang agak tinggi, sejauh mana keberkesananya dan bagaimana masyarakat boleh berfungsi.

“Sebelum usaha ini diperluaskan ke seluruh MPKKB lain, kita diperingkat kerajaan negeri akan membuat penilaian terlebih dahulu menerusi kejayaan projek perintis ini, sebelum ianya dikembangkan ke seluruh negeri pada masa akan datang,” katanya.

Adly tidak menolak kemungkinan bahawa pengundian secara elektronik akan diperkenalkan pada masa akan datang namum buat pertama  kali ini ianya akan dilakukan secara manual.

Sementara itu mengulas mengenai isu air di negeri ini, Adly berkata kerajaan negeri sedang berusaha mendapat sumber air baharu daripada Tasik Biru, Merlimau sebagai punca air baharu bagi mengatasi masalah kekurangan air di negeri ini.

“Dengan adanya sumber baharu ini dan dapat mengekalkan  tahap air pada paras 70 peratus di dua buah empangan iaitu empangan Jus dan empangan Durian Tunggal, maka masalah air di negeri ini dapat diatasi,” katanya.

Beliau berkata sehingga kini kerajaan negeri belum mempunyai cadangan untuk menguna sumber air bawah tanah kerana ianya terhad dan hanya diguna untuk tujuan pertanian sahaja.

--BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel