Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Operasi Pasar Payang berakhir tengah malam ini


Tarikh kemaskini: 31/07/2019





Oleh Noor Aznida Alias

KUALA TERENGGANU, 31 Julai (Bernama) -- Tepat 12 malam ini berakhirlah riwayat 51 tahun Pasar Besar Kedai Payang (Pasar Payang) yang telah banyak menabur bakti kepada peniaga serta penduduk di bandar ini kerana seterusnya sebahagian besar struktur bangunan akan menyembah bumi dan akan dibangunkan semula dengan yang lebih cantik dan moden.

Tinjauan Bernama di pasar yang terkenal dengan penjualan kain batik dan keropok itu mendapati lebih 90 peratus daripada kira-kira 1,000 peniaga di situ telah mengosongkan kedai masing-masing dan berpindah ke tapak sementara Pasar Payang 2 yang terletak hampir 80 meter dari tapak asal.

Keadaan di Pasar Payang sejak pagi tadi telah senyap sunyi dan hanya kelihatan kelibat peniaga warga emas yang sedang berborak dan merenung lot kedai masing-masing seolah-olah sedang mencari ‘kekuatan’ untuk meninggalkannya.

Difahamkan, Pasar Payang akan ditutup untuk sebarang aktiviti bermula pukul 12 malam ini dan pemasangan pagar di kawasan sekitar akan mula dibuat bagi membolehkan kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan untuk memberi nafas baru dengan suasana lebih moden dan bersih.

Seorang peniaga peralatan dapur dan kelengkapan rumah Hamad Senik, 65, berkata suasana di Pasar Payang mulai suram setelah sebahagian besar peniaga mula berpindah dan beroperasi secara berperingkat di tapak baharu sejak beberapa minggu lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata masih ada segelintir peniaga yang berniaga pada hari terakhir kerana mahu menikmati saat manis di situ sebelum dapat kembali semula dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.

"Pakcik sudah mulai berkemas dan memasukkan barang ke pasar baharu sejak dua minggu lalu, tetapi masih belum selesai hingga ke hari ini kerana stok barang agak banyak dan hanya dibantu oleh isteri, Khadijah Sulaiman, 60-an.

"Stok barang pula banyak yang terpaksa disimpan di rumah kerana keluasan kedai di tapak baharu hanya separuh berbanding ruangan kedai di sini (PBKP)," katanya.

Sementara itu, seorang peniaga batik, Hashimah Hashim, 65, berkata setelah lebih 40 tahun mencari rezeki di Pasar Payang beliau mahu mengimbau kenangan suka duka dengan berniaga pada hari terakhir sebelum ia ditutup secara rasmi pada malam ini.

"Sayu rasa berat hati nak meninggalkan kedai ini yang telah banyak berjasa pada keluarga makcik.

"Tetapi demi kebaikan dan masa depan peniaga, kami akur untuk berpindah dan harap-harap perniagaan di tempat baharu akan berjalan lancar seperti di sini," katanya yang menghabiskan kira-kira RM4,000 bagi menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian di kedai baharunya.

Sementara itu, tinjauan mendapati pengunjung sudah mula membanjiri  Pasar Payang 2 seawal pukul 9 pagi dan hampir 90 peratus daripada 762 lot kedai yang terdapat di dalamnya telah memulakan perniagaan.

Seorang peniaga gerai makan, Mohamad Rosli Abu Bakar, 41, berkata sejak beroperasi di situ (Pasar Payang 2),  Sabtu lalu beliau hampir ‘tidak menang tangan’ melayan pelanggan yang kebanyakannya datang dari negeri lain.

"Mungkin ramai yang mengambil kesempatan berjalan-jalan di Terengganu kerana tempoh cuti yang agak panjang iaitu cuti hujung minggu yang bersambung dengan cuti umum sempena hari pertabalan Yang Di-Pertuan Agong.

"Pelanggan ada juga memaklumkan lebih selesa makan di sini kerana bangunan baharu ini bersih, tidak panas dan lebih menarik betul-betul menghadap sungai," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu cawangan Kuala Terengganu, Zakaria Yusoff, 56, berkata proses perpindahan peniaga setakat ini berjalan lancar dan masing-masing akur dengan arahan yang bakal berakhir pukul 12 malam ini.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat kira-kira 200 peniaga sayur, makanan dan keropok yang masih belum dapat berpindah kerana tapak kedai sementara mereka masih belum dipasang kanopi.

"Masalah ini berpunca daripada kelewatan kontraktor menyiapkan kanopi di tapak tambahan Pasar Payang Baharu yang dibina bersebelahan.

"Bagaimanapun pihak persatuan dan peniaga telah pun mengadakan perbincangan dengan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) pagi tadi dan kontraktor telah memberi janinan akan menyiapkan pemasangan kanopi itu pada hari ini juga," katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel