Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Peruntukan RM6 juta bagi inisiatif projek pintar di Seberang Perai


Tarikh kemaskini: 31/07/2019





BUKIT MERTAJAM, 31 Julai (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang memperuntukkan kira-kira RM6 juta setiap tahun bagi inisiatif projek pintar di Seberang Perai, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Negeri, Jagdeep Singh Deo hari ini.

Beliau berkata projek itu termasuk penyepaduan analitis video pada kamera litar tertutup (CCTV), sistem analitik lalu lintas & pengenalan pintar, teknologi aliran lalu lintas pintar, tempat letak kereta pintar, hentian bas pintar dan Sistem Amaran Paras Air Kawalan Banjir (SPARK).

“Ini penting (bagi kesemua inisiatif ini mengambil tempat) ke arah memastikan Malaysia berada pada kedudukan setara dengan negara lain dan Pulau Pinang menjadi negeri peneraju,” katanya pada sidang akhbar selepas memeriksa rumah pam di Desa Damai di sini.

Pemeriksaan itu yang dijalankan bersama-sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Datuk Rozali Mohamud turut meliputi pemeriksaan terhadap keberkesanan fungsi SPARK di rumah pam itu.

Menyepadukan teknologi penderia ultrasonik dan Internet Benda (IoT), SPARK berupaya mengesan kenaikan paras air di rumah pam itu dan menghantar amaran kepada pegawai bertugas di MPSP menerusi khidmat pesanan ringkas  (SMS) di telefon bimbit mereka.

Sementara itu, Rozali berkata sebaik sahaja amaran diterima, pegawai bertugas akan membersihkan perangkap sampah dari rumah pam itu untuk membolehkan air dilepaskan, yang dapat membantu mengurangkan kesan banjir di kawasan berhampiran.

Beliau berkata sistem itu selain menjimatkan perbelanjaan MPSP, juga tidak memerlukan pekerja majlis berkenaan untuk berada di rumah pam itu sepanjang masa.

“Sungguhpun bayaran penyenggaraan bagi sistem SPARK adalah RM46,080 bagi tempoh dua tahun, ia menjimatkan majlis RM300,000 untuk membayar kerja lebih masa dalam tempoh itu,” katanya.

Setakat ini, 12 rumah pam dari lapan wilayah di tanah besar Pulau Pinang dilengkapi dengan sistem SPARK.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel