Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bekas banduan ditahan bersama kekasih edar dadah bernilai RM212,580


Tarikh kemaskini: 31/07/2019





KEPALA BATAS, 31 Julai (Bernama) -- Seorang lelaki yang baru dibebaskan dari penjara awal tahun ini ditahan bersama seorang wanita dipercayai kekasihnya Rabu lepas apabila kira-kira 1.35 kilogram (kg) syabu dan 660 pil yaba bernilai RM212,580 ditemui di rumah yang diduduki pasangan itu di Permatang Sintok, Penaga dekat sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor hari ini berkata lelaki berusia 38 tahun dan wanita berumur 26 tahun itu ditahan dalam satu serbuan yang dilakukan ke atas rumah berkenaan  pada kira-kira 5 petang selepas risikan dan intipan dibuat sejak dua minggu lepas.

"Hasil pemeriksaan dalam rumah itu, polis menjumpai syabu serta pil yaba tersebut dan siasatan mendapati pasangan itu mendapatkan bekalan dadah daripada satu sindiket sebelum membungkus semula dan menjual  di sekitar daerah SPU," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya siasatan mendapati pasangan itu menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak awal tahun ini iaitu selepas lelaki itu dibebaskan daripada penjara atas kesalahan dadah.

"Ujian air kencing mendapati pasangan kekasih yang tidak bekerja itu positif mengambil dadah dan masing-masing mempunyai empat rekod lampau berkaitan kes dadah. Kes tersebut disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah," katanya.

Dalam kes berasingan, Noorzainy berkata polis menahan seorang lelaki yang juga anggota sindiket pengedaran dadah di tempat letak kereta Flat Taman Desa Sena, Kepala Batas di sini pada Khamis lepas dan merampas 82 gram syabu bernilai RM12,300.

Katanya siasatan awal mendapati lelaki berusia 36 tahun itu berada di kawasan berkenaan untuk menghantar bekalan dadah kepada pembelinya di situ.

"Lelaki yang tidak bekerja dan positif dadah itu dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak setahun lepas di sekitar daerah ini," katanya.

Beliau berkata lelaki yang sudah berkahwin itu mempunyai 11 rekod lampau berkaitan kes dadah dan turut positif ujian saringan air kencing.

Katanya kesemua dadah yang dirampas dalam dua serbuan itu boleh digunakan oleh 8,000 orang penagih dadah jika terlepas ke pasaran.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     

Ibu mati, anak OKU dijumpai dahaga lapar dalam rumah di Skudai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel