Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MBMB pasang 7,000 Jalur Gemilang


Tarikh kemaskini: 31/07/2019





MELAKA, 31 Julai (Bernama) -- Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan memasang kira-kira 7,000 Jalur Gemilang di sekitar kawasan pentadbirannya sempena sambutan Bulan Kemerdekaan 2019 pada Ogos ini, kata Datuk Bandar MBMB Mansor Sudin.

Beliau berkata setakat ini sebanyak 1,000 Jalur Gemilang dipasang di beberapa kawasan termasuk di Jalan Peringgit ke Bandar Hilir, Jalan Hang Tuah, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Tun Mutahir dan Bangunan Graha Makmur, Ayer Keroh.

"Pemasangan Jalur Gemilang itu selaras dengan pemilihan Melaka sebagai tuan rumah Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 yang akan dirasmikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Dataran Pahlawan Sabtu ini.

"Selain itu, sempena sambutan bulan kemerdekaan bertemakan 'Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih', kita juga menyarankan seluruh warga bandar raya untuk mengibarkan Jalur Gemilang tidak kira di premis kediaman, perniagaan, bangunan kerajaan, kawasan perkampungan dan kilang," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata lebih 2,000 notis pemberitahuan pemasangan Jalur Gemilang di premis bangunan perniagaan, hotel, dewan perniagaan dan balai raya dikeluarkan agar bendera berkenaan dikibarkan bermula esok hingga 16 Sept.

Katanya pemasangan secara sukarela itu bagi menzahirkan rasa bangga terhadap keamanan dan kemakmuran yang dinikmati selama ini selain menghormati Jalur Gemilang yang merupakan lambang negara.

Mansor berkata warga bandar raya juga diminta lebih peka dan sensitif terhadap pemasangan Jalur Gemilang dan meminta agar bendera lusuh di mana-mana premis diturunkan dan digantikan dengan yang baharu.

Sementara itu, beliau berkata Program Sambutan Ambang Kemerdekaan peringkat negeri Melaka dijangka diadakan di Dataran MBMB bermula 8 malam pada 30 Ogos nanti.

Beliau berkata kira-kira 10,000 pengunjung dari dalam dan luar Melaka dijangka hadir memeriahkan sambutan tersebut yang dijadual dirasmikan Ketua Menteri, Adly Zahari.

"Pelbagai pengisian program berkonsepkan warisan akan diadakan antaranya persembahan artis jemputan, kebudayaan dan pertunjukan bunga api sebagai acara kemuncak," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Wakil jabatan audit mengaku rakam mesyuarat "pinda laporan audit 1MDB"

 
     

Pasukan audit 1MDB terkejut dengar gugur penyata kewangan - Saksi

 
     

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel