uSilPagew2k Polis Kelantan rampas pelbagai dadah lebih RM100,000
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis Kelantan rampas pelbagai dadah lebih RM100,000


Tarikh kemaskini: 31/07/2019





KOTA BHARU, 31 Julai (Bernama) -- Op Ice Breaker yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan bermula 28 Julai sehingga semalam berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM100,000.

Ketua JSJN Kelantan, ACP Mit Emong berkata, selain dadah pihaknya juga berjaya menahan seramai 239 individu di seluruh negeri ini termasuk pengedar (21), pemilik (88), positif ujian air kencing (119) serta waran tangkap (lapan).

Beliau berkata, sasaran Op Ice Breaker ini adalah operasi besar-besaran di seluruh negara yang bermula pada 28 Julai lalu bagi membanteras sebarang kesalahan berkaitan dadah.

"Daripada kes yang dicatat, ada satu kes polis berjaya menahan tiga lelaki berumur 32 hingga 41 tahun di hadapan sebuah rumah di Tasek Pauh, Selising, Pasir Puteh lebih kurang pukul 1 pagi semalam.

"Dalam kejadian itu, polis menahan kesemua suspek selepas berlaku pergelutan dan ujian air kencing yang dilakukan mendapati ketiga-tiga suspek positif methamphetamine," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Mit berkata pemeriksaan di tempat kejadian serta di dalam kenderaan jenis Honda Jazz yang dinaiki kesemua suspek sebelum itu menemui 5,200 biji pil kuda, 20 botol plastik lutsinar dipercayai heroin anggaran berat 80 gram serta ketulan kristal dipercayai syabu dengan anggaran berat 58.86 gram.

Katanya kesemua dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran di sekitar Pasir Puteh dan polis percaya berjaya melumpuhkan antara sindiket pengedaran dadah utama di negeri ini.

"Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 5 Ogos ini dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung mandatori.

"Bagi Op Ice Breaker di Kelantan kita sebenarnya menyasarkan tangkapan seramai 500 individu berkaitan kesalahan dadah. Namun, operasi melibatkan seramai 139 anggota narkotik ini masih diteruskan sehingga diberitahu kelak," katanya.

Jelasnya orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan dadah boleh menghubungi talian hotline 012-2087222.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Wakil jabatan audit mengaku rakam mesyuarat "pinda laporan audit 1MDB"

 
     

Pasukan audit 1MDB terkejut dengar gugur penyata kewangan - Saksi

 
     

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel