Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pelancaran Bulan Kebangsaan timbul keterujaan rakyat Melaka


Tarikh kemaskini: 31/07/2019





MELAKA, 31 Julai (Bernama) -- Pemilihan Melaka sebagai lokasi Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 pada Sabtu ini yang dilihat bakal mengimbas kembali peristiwa penting sejarah kemerdekaan negara, telah menimbulkan rasa keterujaan dalam kalangan rakyat di negeri ini.

Rata-rata mereka yang ditemui Bernama menyatakan perasaan bertuah dan tidak sabar menunggu detik tersebut apatah lagi negeri berkenaan pada 63 tahun yang lepas, pernah menjadi lokasi detik pengumuman tarikh kemerdekaan negara oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj.

Bagi pesara guru, Siti Hawa Abdullah, 61, beliau sangat teruja memandangkan lokasinya merupakan tempat pengumuman tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 20 Feb 1956 yang diumumkan Tunku Abdul Rahman.

"Ia pasti membangkitkan nostalgia terutama kepada mereka yang pernah mengikuti peristiwa ini. Bagi saya ini juga peluang kepada kami serta anak-anak muda untuk melihat dan merasai sendiri acara berkenaan di samping menyuburkan rasa cinta kepada negara," katanya di sini, baru-baru ini.

Penjawat awam, Shahilawati Shahrudin, 32, berkata sambutan kali ini akan memberi makna yang mendalam kepada rakyat Malaysia bukan sahaja untuk menyelami maksud kemerdekaan, bahkan memupuk sikap bertanggungjawab menjaga keharmonian dan kesejahteraan negara tercinta.

"Bagi saya jika dahulu kita hanya berpeluang membaca atau mengetahui peristiwa dan sejarah ketika belajar di sekolah, tetapi kali ini ia pasti benar-benar mengimbau kenangan 63 tahun lalu," katanya.

Bagi pekerja swasta, Liew Lee Mei, 45, menyifatkan pelancaran berkenaan di Melaka sesuatu yang amat unik dan mahu program dan kempen bagi meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat dipertingkatkan.

“Kesedaran orang ramai untuk mengibarkan Jalur Gemilang perlu disemarakkan untuk mewujudkan semangat patriotisme dan menzahirkan rasa sayang kepada negara,” katanya.

Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 akan dirasmikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sabtu.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel