XLIuIINWxcg Pelajar latihan industri atas kapal ditemui lemas
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pelajar latihan industri atas kapal ditemui lemas


Tarikh kemaskini: 30/07/2019





ALOR GAJAH, 30 Julai (Bernama) -- Pelajar lelaki yang hilang dipercayai terjatuh ke dalam laut ketika mengikuti latihan industri di atas kapal tunda ditemui lemas di perairan Kuala Linggi di sini, hari ini.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan, Komander Maritim Azman Samsudin berkata mayat pelajar tahun akhir Diploma Kejuruteraan Marin, Institut Latihan Vokasional Ranaco, Terengganu, Muhammad Afizuddin Aidzuhan, 20, ditemui kira-kira 3.9 batu nautika di barat laut dari kedudukan kapal mangsa bertugas kira-kira 12.45 tengah hari.

"Mayat mangsa dalam keadaan terapung itu ditemui komuniti nelayan Kuala Linggi sebelum diserahkan kepada anggota Maritim yang menaiki Bot Petir 91 untuk dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia di Kuala Linggi bagi pengecaman oleh keluarga mangsa.

"Selepas itu, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Alor Gajah bagi  proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Semalam, media melaporkan kehilangan Muhammad Afizuddin disedari anak kapal lain kira-kira 1 tengah hari yang kemudian melaporkannya kepada pihak Maritim sebelum operasi mencari dan menyelamat diaktifkan pada 5 petang.

Mangsa yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor itu telah enam bulan menjalani latihan industri di sebuah syarikat operator pelabuhan di Kuala Linggi di sini.

Azman berkata kawasan pencarian bagi operasi yang memasuki hari kedua diperluaskan merangkumi 70 batu nautika persegi di perairan Kuala Linggi menggunakan aset pelbagai agensi termasuk Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Sementara itu, katanya sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan ke bilik gerakan Maritim Melaka dan Negeri Sembilan yang beroperasi 24 jam di talian 06-3876730 atau menerusi talian MERS 999.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel