Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

PPM Pengkalan Kubor catat rampasan bernilai RM4.6 juta sehingga Jun


Tarikh kemaskini: 30/07/2019




TUMPAT, 30 Julai (Bernama) -- Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor mencatatkan jumlah nilai rampasan sebanyak RM4.6 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini hasil operasi di sepanjang 20.4 kilometer kawasan tanggungjawab di sempadan Kelantan-Thailand.

Pegawai Pemerintahnya, ASP Mohd Rudzuan Ahmad berkata kes tertinggi yang dicatatkan adalah melibatkan pencerobohan bot nelayan asing iaitu kes di bawah Akta Perikanan 1985 dengan rampasan bernilai RM4.2 juta.

Menurutnya bagi kes melibatkan Akta Kawalan Bekalan 1961 pula pelbagai barangan kawalan bernilai RM62,000 turut berjaya dirampas.

"Secara umumnya dalam tempoh tersebut kita mencatatkan 204 kes rampasan dengan kes terbanyak adalah mengikut Akta Padi dan Beras Negara 1994 (60 kes) diikuti Akta Perikanan 1985 (44 kes) dan Akta Kawalan Bekalan 1961 (32 kes).

"Bagi kes mengikut Akta Kawalan Bekalan, kebanyakan rampasan melibatkan barangan bersubsidi seperti minyak masak, diesel dan petrol yang cuba diseludup keluar ke negara jiran," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Mohd Rudzuan berkata sehingga kini kekuatan PPM Pengkalan Kubor adalah seramai 74 anggota termasuk 15 orang berpangkalan di Tok Bali, Pasir Puteh.

Katanya di sepanjang sempadan, PPM hanya melakukan kawalan dari Kuala Takbai hingga Kubang Pak Itam dengan jarak rondaan sejauh 20.4 km dan kawasan selebihnya adalah di bawah tanggungjawab Pasukan Gerakan Am (PGA).

"Kawalan PPM setakat Kubang Pak Itam sahaja disebabkan laluan Sungai Golok yang semakin sempit dan tohor dengan hanya menggunakan tiga buah 'Strike Boat' serta rondaan darat menggunakan motosikal.

"Meskipun begitu, kita sentiasa melakukan rondaan 24 jam di sepanjang kawasan berkenaan bagi mencegah sebarang cubaan menyeludup," katanya.

Jelasnya, bagi penyeludupan rokok ianya banyak melalui laluan laut dan kawasan sering berlaku kegiatan itu adalah di Kuala Besar, Pulau Tengkorak dan Tok Bali.

Katanya apa yang menjadi masalah kepada penguatkuasaan di sempadan Kelantan-Thailand adalah wujudnya banyak pangkalan haram dan laluan tikus sehingga menyukarkan kegiatan penyeludupan dibanteras.

Memburukkan lagi keadaan, wujudnya golongan 'tonto' didalangi penduduk tempatan yang mengambil upah mengawasi segala pergerakan pihak berkuasa.

"Sehingga kini kita mengesan 59 pangkalan haram yang mempunyai stor di tepi Sungai Golok yang dibina di atas tanah persendirian dan sukar dikesan aktiviti yang dijalankan.

"Selain itu, banyak laluan tikus digunakan oleh penyeludup bagi membawa masuk atau keluar pelbagai barangan. Pergerakan mereka ini amat licik dan sempadan sungai yang sempit memudahkan barangan diseludup hanya dengan menggunakan bot enjin galah mahupun perahu sahaja," katanya.

Jelasnya sejak Januari lalu sebanyak 94 operasi dijalankan iaitu Op Pensura, Op Gelora, Op Gelora Khas, Op Inter Agensi, Op Intra Agensi, Op Landai dan Op Pintasan semata-mata bagi membanteras segala kegiatan penyeludupan.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara Dr Ismail Bakar berkata kerajaan mengalami kerugian antara RM3 bilion hingga RM5 bilion setahun disebabkan kebocoran hasil yang berlaku di pintu masuk negara.

Katanya, kebocoran hasil itu antaranya disebabkan aktiviti penyeludupan yang berlaku, sama ada kerana kecuaian ataupun kekurangan peralatan untuk memantau dan mengawal pintu sempadan.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel