Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Op Ice Breaker kesan kemasukan dadah di ICQS Rantau Panjang


Tarikh kemaskini: 30/07/2019





PASIR MAS, 30 Julai (Bernama) -- Polis Kelantan mengetatkan operasi di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Rantau Panjang bagi mengesan kemasukan dadah ke negara ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, ACP Mit Emong berkata, sebelum ini operasi tertumpu di kawasan 'port' dadah sahaja tapi kini beralih di pintu masuk negara bagi mengesan cubaan menyeludup sebarang jenis dadah.

Beliau berkata operasi kali ini adalah susulan daripada 'Op Ice Breaker' yang sedang berlangsung di peringkat kebangsaan sekarang ini.

"Sepanjang tempoh enam hari bermula 28 Julai kawalan di kawasan sempadan akan diperketatkan manakala jumlah operasi akan dipertingkatkan.

"Kita juga akan sentiasa mendapatkan maklumat daripada masyarakat setempat khususnya dalam penyaluran maklumat supaya jenayah berkaitan dadah dapat dibanteras," katanya kepada pemberita ketika ditemui di ICQS, di sini, hari ini.

Dalam operasi hari ini polis memeriksa individu yang melalui pusat pemeriksaan di ICQS samada secara berjalan kaki, bermotosikal atau berkereta.

Operasi berkenaan turut menggunakan Unit K-9 anjing pengesan bagi mengesan sebarang jenis dadah yang mungkin disembunyikan di dalam bahagian tertentu kenderaan.

Sementara itu, Mit berkata dalam menangani masalah penyeludupan dadah polis turut mendapat kerjasama padu daripada agensi lain termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan lain-lain agensi berkaitan.

Katanya tanpa kerjasama agensi keselamatan lain di sempadan sudah pasti hasrat kerajaan dalam menangani permasalahan dadah di negara ini tidak akan tercapai.

"Hubungan baik dengan masyarakat dan agensi di sempadan adalah amat penting kerana tanpa kerjasama erat ini sudah pasti masalah dadah khususnya di sempadan tidak akan selesai," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel