Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Mangsa kebakaran mahu guna sumbangan untuk pendidikan anak


Tarikh kemaskini: 29/07/2019




KUANTAN, 29 Julai (Bernama) -- Mangsa kebakaran di Kampung Sungai Isap 2 di sini, Hairol Khalid berazam untuk menggunakan derma yang diterimanya bagi pendidikan satu-satunya ahli keluarga yang ada. 

Hairol, 38, berkata dia mahu memastikan anak sulungnya Nordiana, 15, kembali menyambung pelajaran selepas berhenti pada tingkatan dua bagi membantu ekonomi keluarga. 

"Arwah isteri pernah menyatakan hasrat supaya Nordiana kembali ke sekolah. Lebih baik wang yang diterima digunakan untuk menunaikan permintaan arwah dan saya juga berasa itu yang terbaik

"Saya sedang menunggu jawapan Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan berhubung permohonan Nordiana untuk bersekolah di Lumut, Perak kerana dia mahu tinggal dengan neneknya di sana," katanya. 

Hairol yang bekerja sebagai pemandu lori berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Tahlil dan Penyerahan Sumbangan Tabung Bencana di Masjid Al-Falah, Sungai Isap 2 di sini, hari ini. 

Pada kejadian 21 Julai lalu, Hairol kehilangan isteri Sharifah Azlina Syed Kassim, 37, dan anak Muhammad Haikal Hakimi Hairul, 11, serta Muhammad Adam Daniel, tujuh, selepas terperangkap dalam kebakaran yang berpunca daripada motor kipas rosak di rumah mereka. 

Nordiana bagaimanapun terselamat kerana tinggal dengan ibu saudaranya di Indera Mahkota di sini, bagi memudahkan dia ke tempat kerja di sebuah kedai makan di bandar. 

Mengulas mengenai perancangan selepas ini, Hairol yang baharu dibenarkan keluar dari Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini pada 26 Julai lalu, kerana melecur di badan dan muka berkata 'mahu meneruskan kehidupan seperti biasa'. 

"Saya sudah menziarah pusara isteri dan anak-anak di Chini, Pekan... Saya memerlukan masa untuk bangun semula kerana masih trauma. Sehingga hari ini, saya masih tidak sanggup menonton rakaman video kejadian itu," katanya. 

Sementara itu, penyelaras tabung bencana itu Abdul Rahim Osman, 59, berkata setakat semalam, jumlah yang diterima daripada pelbagai pihak bagi membantu mangsa kebakaran yang keseluruhan melibatkan enam buah rumah ialah RM85,000. 

Sumbangan itu dibahagikan kepada sembilan keluarga yang terlibat mengikut peratus kerugian, namun jumlah yang 'lebih' diberikan kepada Hairol memandangkan dia merupakan satu-satunya mangsa yang kehilangan ahli keluarga. 

-- BERNAMA  


 

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel