Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

1,280 sertai MIYCAF di Melaka


Tarikh kemaskini: 29/07/2019





MELAKA, 29 Julai (Bernama) -- Seramai 1,280 peserta dari dalam dan luar negara termasuk lebih 900 murid dari 60 sekolah di seluruh negara dijangka menyertai Malaysia International Youth Culture and Arts Festival (MIYCAF) yang berlangsung di Encore Melaka selama empat hari bermula 14 Ogos hadapan.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhamad Jailani Khamis berkata pertandingan itu bertujuan mencungkil bakat seni dan memupuk jati diri dalam kalangan anak muda negara di samping turut merangsang dan mengetengahkan bakat yang ada pada mereka.

Beliau berkata pertandingan itu akan dibahagikan kepada dua fasa iaitu peringkat kebangsaan yang dijadualkan pada 14 dan 15 Ogos, manakala peringkat antarabangsa pada 16 dan 17 Ogos.

"Pertandingan ini merupakan platform pertembungan budaya pelbagai bangsa dan kaum dari dalam dan luar negara termasuk dari Rusia, China, Indonesia dan Singapura yang membawa identiti budaya dan kesenian masing-masing untuk dikongsi atau dipertontonkan kepada khalayak.

"Pertandingan terbahagi kepada lima kategori iaitu sketsa, tarian, muzik vokal, persembahan bakat dan muzik instrumentasi dan hadiah pula terdiri daripada anugerah emas, perak, gangsa dan cemerlang," katanya kepada pemberita pada sidang media pertandingan itu di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata penerima Anugerah Emas Peringkat Antarabangsa 2019 Malaysia MIYCAF berpeluang menyertai program pertukaran dan pertandingan seni dan kebudayaan yang dianjurkan di luar negara antaranya China, Rusia, Kanada, Vietnam, Thailand dan Amerika Syarikat pada 2020.

Katanya program penganjuran kali ketiga sejak 2017 yang mendapat sokongan Kementerian Pendidikan itu terbuka kepada orang awam dan tiket berharga RM150 boleh dibeli secara dalam talian di laman sesawang https://www.iycaf.com/ticketing 2019.

Menurutnya tiket itu boleh digunakan untuk menyaksikan pertandingan yang berlangsung selama empat hari selain pengunjung berpeluang melawat Pasar Seni yang diadakan di program itu bermula dari pukul 6.00 petang sehingga 11 malam.

Sementara itu, katanya MIYCAF mampu memperkukuh hubungan antara peserta dan memajukan industri pelancongan negeri bersesuaian dengan Tahun Melawat Melaka 2019 yang sedang giat dipromosikan dengan tema 'A Gateway to Historic Malaysia'.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Jho Low ajar percepat proses pengeluaran jaminan kerajaan - Saksi

 
     

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel