Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

67 kilang di Pasir Gudang dikenal pasti beroperasi tanpa lesen


Tarikh kemaskini: 29/07/2019





JOHOR BAHRU, 29 Julai (Bernama) -- Sebanyak 67 kilang di Pasir Gudang setakat ini dikenal pasti beroperasi tanpa lesen dalam operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi susulan insiden muntah-muntah dan sesak nafas berulang di kawasan itu sejak 20 Jun lepas.

 Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar, Tan Chen Choon menegaskan operasi seumpama itu akan terus dijalankan sebagai usaha menangani masalah pencemaran di kawasan berkenaan.

"Di Pasir Gudang ini dalam catatan kita ada 67 kilang yang tiada lesen di bawah Majlis Perbandaran Pasir Gudang. Daripada jumlah itu, lapan akan dikenakan tindakan mahkamah, 46 diberi notis peringatan, tiga telah di sita, dua kilang diperintah tutup manakala lapan lagi tindakan akan diambil," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas operasi penguatkuasaan melibatkan empat kilang di kawasan Pasir Gudang hari ini yang turut disertai  Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor Wan Abdul Latiff Wan Jaafar.

Operasi disertai pelbagai agensi termasuk JAS, MPPG, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Johor melibatkan 60 anggota secara keseluruhan.

Dalam serbuan hari ini, dua premis didapati mempunyai lesen dan dua lagi tidak mempunyai lesen termasuk sebuah kilang memproses plastik kitar semula yang disita. Ia turut didapati memproses plastik yang diimport dari Ireland dan United Kingdom.

"Tindakan itu (menghantar semula sisa plastik ke negara asal) memang ada dalam perancangan kita, yang mana bila kita kesan tidak patuh, kita akan sekat dan akan dihantar balik. Pemilik premis belum dikenal pasti namun siasatan lanjut akan diteruskan," kata Tan.

Operasi itu turut menyaksikan 12 pendatang tanpa izin dari  Bangladesh, Indonesia dan China ditahan.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel