Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Garis panduan khas untuk penanaman durian di tanah bercerun diperkenalkan


Tarikh kemaskini: 29/07/2019





GEORGE TOWN, 29 Julai (Bernama) -- Jabatan Pertanian Malaysia hari ini mengumumkan 10 garis panduan khas yang membenarkan tanaman durian di kawasan bercerun di bawah 30 darjah agar industri durian dilaksanakan secara lestari dengan impak minimum terhadap alam sekitar.

Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Datuk Jamal Harizan Yang Razali berkata garis panduan baharu ini akan membolehkan pengusaha durian di lereng bukit untuk menanam durian melebihi 25 darjah dengan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

"Kita tak mahu pertanian dilabel sebagai perosak alam sekitar dan punca bencana apabila berlakunya pemendakan sungai dan tasik hingga menyebabkan alirannya cetek, empangan tadahan air dipenuhi lumpur, banjir kilat dan tanah runtuh.

"Jadi kami mengambil langkah proaktif dengan melancarkan garis panduan khas pembangunan tanaman durian di tanah bercerun dalam menangani masalah hakisan," katanya selepas Majlis Pelancaran Garis Panduan Khas Pembangunan Tanaman Durian di Tanah Bercerun di Pusat Pertanian Relau dekat sini.

Katanya, garis panduan itu juga mampu memelihara ekosistem ke arah pertanian yang mampan kerana durian merupakan satu daripada sumber kekayaan baharu negara.

Bagaimanapun, Jamal berkata garis panduan itu akan dibaca bersama Rancangan Tempatan di negeri masing-masing dengan aktiviti penguatkuasaan dibuat di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) serta perancangan negeri dan daerah.

"Semua kementerian, jabatan dan agensi lain, termasuk PBT dan pejabat tanah diharap dapat memanfaatkan garis panduan ini dengan menjadikannya terikat secara perundangan dengan akta berkaitan bagi memastikan pertanian dilaksanakan dengan penuh berhemah," katanya.

Beliau berkata garis panduan lama hanya membenarkan tanaman durian di tahap kecerunan bawah 25 darjah sahaja.

Antara syarat-syarat yang harus dipatuhi oleh pengusaha-pengusaha durian adalah mendapatkan kebenaran pihak berkuasa perancang tempatan, sebarang cadangan pembangunan pertanian ini tertakluk kepada garis panduan rancangan tempatan, jenis tanah mesti tidak mudah terhakis dan tanah mesti mempunyai kedalaman efektif untuk pengakaran sekurang-kurangnya satu meter.

Sementara itu, Jamal berkata garis panduan itu bakal dikembangkan untuk penanaman buah-buahan lain selain durian.

"Garis panduan ini akan berkuat kuasa serta-merta dan kami bercadang untuk memperluaskannya bagi  penanaman buah-buahan lain pada masa hadapan," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

LZS akan terus beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatan libatkan dana LZS dan RTM

 
     

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel