Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sungai Pengkalan Datu tumpuan pelancong setiap Sabtu


Tarikh kemaskini: 29/07/2019





Oleh Habsah Ismail

KOTA BHARU, 29 Julai (Bernama) -- Kota Pengkalan Datu yang terletak di Sering boleh menjadi hab pelancongan baharu kepada Kelantan terutama dengan adanya tarikan menerusi aktiviti di sepanjang lembangan sungainya.

Pengerusi Persatuan Warisan Lembangan Sungai Pengkalan Datu (WASPADA), Mohd Asri Husin berkata usaha mengangkat kampung itu giat dijalankan kerana di situ disediakan empat produk pelancongan utama iaitu warisan sejarah, kesenian, kebudayaan dan alam semula jadi serta kebudayaan tani dan makanan tradisional.

"Apa yang kita cuba tonjolkan pada masa ini adalah dengan mempergiatkan aktiviti yang melibatkan komuniti di mana aktiviti setempat dijadikan asas produk pelancongan termasuk kaedah menangkap ikan secara tradisional seperti bubu, jala, pukat dan mencari lokan serta menyadap nira nipah di sepanjang Sungai Pengkalan Datu.

"Kita kembangkan lagi produk pelancongan di Sungai Pengkalan Datu dengan menyediakan Pasar Tani Terapung yang diadakan setiap Sabtu bermula pukul 8 pagi hingga tengah hari serta Pasar Nelayan Pulau Gajah yang beroperasi setiap hari kecuali Jumaat bermula pukul 2 pagi hingga 5 petang di mana hasil laut yang segar dijual di sini," katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Asri berkata kedudukan Pasar Terapung Pengkalan Datu terletak kira-kira 7 kilometer (km) dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP)  dan 10 km dari bandar Kota Bharu.

Beliau berkata untuk memberi memberi kelainan, aktiviti belayar menyusuri sungai disediakan untuk membolehkan pelancong melihat sendiri pemandangan alam semula jadi dan aktiviti masyarakat sekitar Sungai Pengkalan Datu.

Beliau berkata banyak kerja menaik taraf dijalankan dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang mengadakan kajian bagi memartabatkan warisan, khazanah dan bangsa di sekitar lembangan sungai berkenaan.

Katanya antara warisan yang masih dijaga termasuk seni silat, rebana ubi, kertok, dikir barat, wau ukir, gasing, mencanting batik, pertandingan ayam berkokok dan khazanah rumah lama Cina Peranakan berusia 250 tahun yang masih ada di lembangan Sungai Pengkalan Datu.

"Makanan tradisional yang dijual di Pasar Terapung pula ialah ubi kayu parut, kerabu nipah, nasi kerabu dan nasi dagang dan beberapa jenis kuih termasuk 'serabai', akok, lompat tikam dan tepung bungkus selain masakan panas serta ikan bakar yang disediakan oleh restoran ini," katanya.

Beliau yang juga Pengurus di Cerana Villa Resort berkata penginapan itu adalah satu-satunya resort kebudayaan tani sepanjang sungai yang boleh memuatkan 50 penghuni dalam satu masa dengan harga bilik serendah RM90 untuk standard dan RM150 untuk keluarga, manakala bagi kemudahan kepada pelancong yang gemar memancing di laut dalam juga turut disediakan.

"Promosi lembangan Sungai Pengkalan Datu yang dijadikan destinasi pelancongan baharu kini sudah dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri, juga pernah mendapat anugerah pertama 'My Kampung My Future' di Kelantan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

"Selain itu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) turut membantu promosi, malah mengiktiraf program Pasar Terapung Kota Pengkalan Datu sebagai salah satu pelancongan berasaskan komuniti," katanya.

Kata Mohd Asri, apa yang dilakukan itu adalah lahir dari hatinya yang berhasrat mahu mengembalikan semula nostalgia kemasyhuran yang pernah wujud di Pengkalan Datu suatu masa dahulu.

"Sekarang, bukan sahaja sungai Pengkalan Datu ini bersih, malah di sini terdapat peninggalan sejarah yang berkait dengan Puteri Saadong yang dikatakan pernah menjadikan tempat ini sebagai laluan ke Thailand, selain ada dakwaan bahawa lokasi ini menjadi laluan oleh pelayar Munsyi Abdullah.

"Nama Kota Pengkalan Datu diambil dari 'Datu' iaitu seorang Gabenor Patani yang dihantar oleh kerajaan Patani suatu masa dahulu yang memerintah Kelantan bersama dengan Sultan dan Raja-raja Kelantan selepas negeri itu digabungkan dengan Patani," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel