Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pengusaha taman air sedia rebut peluang limpahan ekonomi projek ECRL


Tarikh kemaskini: 29/07/2019





PASIR PUTEH, 29 Julai (Bernama) -- Pengusaha sebuah taman tema air mini dan resort di Tok Bali bercadang untuk merebut peluang limpahan ekonomi di kawasan itu hasil keputusan kerajaan pusat membina projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Pengusaha Taman Nik Wi Kampung Bukit Tanah, Nik Wi Hassan, 69, yakin projek berimpak tinggi itu akan menarik minat pelancong dari Pantai Barat khususnya dari Kuala  Lumpur, antarabangsa selain tempatan ke Tok Bali yang terkenal mempunyai pantai yang tercantik di Kelantan.

“Secara tidak langsung akan merancakkan lagi industri pelancongan di Tok Bali dan kawasan sekitarnya,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di resortnya itu di Kampung Bukit Tanah, Semerak di sini, hari ini.

Projek ECRL dilancarkan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook di Tapak Terowong Dungun, Rimba Bandar Bukit Bauk, minggu lepas.

Loke sebelum itu dilaporkan berkata, pelancaran semula ECRL bakal mewujudkan fungsi dan skop yang lebih besar untuk syarikat tempatan memainkan peranan secara aktif dalam projek berkenaan bermula dari Kota Bharu dan Tok Bali (Kelantan) ke Pelabuhan Klang, sejauh 648 kilometer.

Nik Wi yang juga pesara kerajaan berkata, taman mini yang dibina sendiri di satu kawasan lagun dengan modal RM3,000 di kawasan seluas 0.8 hektar sejak 10 tahun lepas itu berpotensi mendapat sambutan tinggi disebabkan jarak lokasinya hanya antara 2 hingga 3 kilometer atau 5 hingga 10 minit perjalanan dari Tok Bali.

Beliau berkata, selain itu ia sesuai dengan pelancong yang datang bersama keluarga kerana mereka boleh bersantai dan merasai suasana nyaman, damai perkampungan.

Katanya, pihaknya kini mempunyai dua kolam renang iaitu satu untuk berkeluarga yang turut dibina untuk kanak-kanak dan sebuah lagi khusus bagi perempuan termasuk golongan remaja seperti kemudahan bermain bola jaring di dalam air.

Nik Wi berkata, sehingga kini kira-kira 30 hingga 100 pelancong dari dalam dan seluruh negara mengunjungi taman mini dan resortnya setiap minggu terutama pada hari cuti Jumaat dan Sabtu.

Beliau bercadang untuk memperbesarkan lagi dengan menambah tiga inap desa, menyediakan sewaan kayak untuk memberi peluang kepada pelancong menyusuri terusan Semerak dan membina dewan untuk bilik mesyuarat.  

Sementara itu, seorang pengusaha resort di Pantai Bisikan Bayu, Zuhairi Mohd Bakari, 32, berkata beliau bercadang akan membuka semula resortnya yang ditutup sejak tiga tahun lepas disebabkan kekurangan pengunjung.

Katanya, pengumuman kerajaan itu amat meyakinkannya bahawa Tok Bali sudah pasti akan bertukar wajah tidak lama lagi.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel