Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Dua lelaki bertopeng dan berparang samun kedai serbaneka diburu


Tarikh kemaskini: 28/07/2019





IPOH, 28 Julai (Bernama) -- Polis sedang mengesan dua lelaki yang dipercayai menyamun rokok dengan memakai topeng dan bersenjatakan parang, di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Komersial Waterfront, Sungai Siput Utara dekat sini, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput Supt Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tersebut pada pukul 7.40 pagi dan segera ke lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, dua suspek berusia lingkungan antara 20 hingga 30 tahun itu masing-masing yang mengenakan topeng 'halloween', memasuki ke dalam kedai berkenaan dengan membawa parang, lalu merampas kotak-kotak rokok yang diletakkan di bahagian kaunter juruwang," katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam ini.

Beliau berkata ketika kejadian, terdapat seorang juruwang wanita berada di kaunter bayaran, manakala seorang lagi pekerja berada di dalam tandas.

Katanya kedua-dua suspek dipercayai melarikan kesemua kotak rokok pelbagai jenis bernilai RM2,000, dengan menaiki motosikal sebaik menyedari kehadiran orang awam.

Mohd Khaizam berkata kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, kerana melakukan samun berkawan bersenjatakan parang.

Rakaman kamera litar tertutup mengenai kejadian dalam kedai serbaneka berdurasi 37 saat itu, menunjukkan dua suspek bertopeng dan mengacukan parang pada juruwang wanita, sambil merampas kotak-kotak rokok yang diletakkan pada bahagian belakang kaunter bayaran itu, mula tular di laman sosial sejak beberapa hari lalu.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel