Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan masih kaji secara terperinci elaun kritikal penjawat awam


Tarikh kemaskini: 28/07/2019





KEPALA BATAS, 28 Julai (Bernama) -- Kerajaan masih mengkaji secara menyeluruh mengenai elaun kritikal penjawat awam yang sehingga kini belum dimuktamadkan, kata Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

Beliau berkata pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas mengenai kertas cadangan berhubung elaun kritikal bomba yang akan dibentangkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata penyerahan kertas cadangan tersebut perlu dirujuk kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin. 

"Saya belum dengar secara rasmi lagi mengenai penyerahan kertas cadangan tersebut, tapi setahu saya ia perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Zuraida," katanya pada sidang media sempena lawatan kerja rasmi ke Kolej Komuniti Kepala Batas, di sini, hari ini. 

Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan mengkaji secara menyeluruh mengenai elaun yang telah diberikan kepada semua penjawat awam sama ada anggota bomba, pegawai kesihatan, guru, polis, tentera dan sebagainya.

Pada 20 Julai, lalu cadangan elaun kritikal tersebut telah dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Al-Mustafa Billah Shah yang prihatin terhadap nasib anggota bomba dalam isu pemberian elaun kritikal sebanyak RM200 sebulan. 

Zuraida menerusi kementeriannya sebelum ini dilaporkan sedang menunggu kata putus Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berhubung pemberian insentif elaun khas itu yang sudah beberapa kali diusulkan, sekali gus bakal memberi manfaat kepada seramai 14,000 anggota bomba di seluruh negara.

Dalam perkembangan lain, Ismail turut menyatakan bahawa waktu bekerja fleksibel yang akan dilaksanakan mulai 1 Ogos ini akan menentukan sama ada ia dapat dilaksanakan dengan lebih efisyen bagi penjawat awam yang bekerja dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.

"Waktu kerja fleksibel ini bukan perkara baharu tetapi sudah dilaksanakan sejak 10 tahun lalu. Kita hendak lihat sejauh mana keberkesanan pelaksanaannya terlebih dahulu sama ada produktif atau sebaliknya," katanya. 

Katanya, kerajaan juga akan membuat penilaian bergantung kepada permintaan terhadap setiap kumpulan penjawat awam terbabit sama ada ia memberikan kesan efektif ke atas mereka yang bekerja dalam waktu berkenaan. 

"Kita juga akan kaji setiap maklum balas yang diterima sama ada mereka terima (waktu bekerja fleksibel dari pukul 9 pagi hingga 5 petang) atau sebaliknya,” katanya. 

Waktu bekerja fleksibel ini adalah kemudahan yang kerajaan sediakan untuk penjawat awam, antaranya mengelak kesesakan lalu lintas dan tempoh lebih fleksibel bagi mereka yang ingin menghantar anak ke sekolah, tadika dan sebagainya, katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel