Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

KDM 2019: Pertandingan E-Sport FIFA 2019 antara tarikan utama


Tarikh kemaskini: 28/07/2019





IPOH, 28 Julai (Bernama)  -- Seramai 40 peserta menyertai pertandingan 'E-Sport FIFA 19' sempena penganjuran Kembara Digital Malaysia (KDM) 2019 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru di sini.

Pertandingan dua hari sejak semalam itu merupakan satu daripada aktiviti yang disediakan buat pengunjung pada karnival tersebut yang diadakan bersempena sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia.

Pengasas Wack Station Gaming Centre, Noor Akmal Noor Azman, 30, berkata pertandingan anjuran pihaknya dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) itu menerima penyertaan dalam kalangan peserta yang berusia lingkungan 25 hingga 30 tahun. 

"Daripada 40 peserta yang menyertai pertandingan ini di peringkat saringan awal, hanya dua peserta sahaja yang layak ke peringkat akhir selepas mara ke peringkat suku akhir dan separuh akhir.

"Kami menawarkan hadiah wang tunai sejumlah RM1,000 bagi juara manakala naib juara bakal menerima wang tunai RM800 serta RM500 untuk tempat ketiga dan RM350 bagi tempat keempat," katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

KDM 2019 yang julung kali diadakan oleh KKMM berlangsung selama dua hari sejak semalam itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Penerangan negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim dan turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Kira-kira 50 pempamer terdiri daripada penyedia perkhidmatan jalur lebar, pengeluar/pengedar perkakasan dan perisian ICT serta agensi kerajaan pusat dan negeri mengambil bahagian sepanjang karnival berkenaan.

Antara objektif penganjuran KDM adalah untuk menyampaikan serta meningkatkan kesedaran rakyat mengenai faedah infrastruktur jalur lebar serta kepentingannya, memberi pendedahan teknologi digital kepada orang ramai, mewujudkan peluang pekerjaan baharu seterusnya menggalakkan penglibatan dalam ekonomi digital.

Sementara itu, kerani swasta, Fariza Md Talib, 41, berkata beliau mengunjungi KDM 2019 kerana terdapat pelbagai aktiviti keluarga antaranya permainan gasing moden atau dikenali sebagai 'beyblade'.

"Disebabkan permainan beyblade ini popular dalam kalangan kanak-kanak pada masa kini, jadi saya membawa anak-anak dan anak saudara untuk mengunjungi program ini.

"Selain itu, kanak-kanak juga dapat meluaskan pergaulan dengan orang ramai pada program ini yang bermanfaat dari segi ilmu pengetahuan," kata ibu kepada empat anak itu.

Fariza berpendapat program KDM 2019 wajar diteruskan pada masa hadapan berikutan pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk seisi keluarga.

Pembantu Pustakawan, Nurul Latifah Mohd Nor, 35, pula mengunjungi KDM 2019 bagi membuat permohonan perkhidmatan TV Digital bersama suaminya.

Katanya, difahamkan perkhidmatan pakej saluran televisyen secara percuma itu hanya boleh dinikmati oleh penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang terpilih.

"Mujur saya terpilih selepas semakan dibuat petugas di sini dan saya terus membuat pendaftaran untuk melanggan TV Digital ini yang memerlukan bayaran hanya RM15 dan pemasangan akan dilakukan di rumah saya," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel